Kisah Si Abang Yang Alim Dan Adik Kaki Maksiat

Mungkin kisah ini telah pernah anda baca dan mendengarnya berkali-kali. Blog ini juga pernah kongsikannya sekitar tahun 2011 yang lalu.

sengaja kisah ini dikongsikan kembali kerana ia mempunyai pengajaran yang berguna kepada kita semua.

Dalam Sebuah hadis ada menceritakan tentang dua orang saudara, seorang daripadanya kuat beribadat kepada Allah, manakala seorang lagi suka berbuat maksiat dan kejahatan.

Pada suatu hari, si abang yang kuat beribadat duduk bersendirian di tempat ibadahnya. Ketika itu datanglah syaitan menjelma lalu berkata: “Sayang sekali, engkau telah menghabiskan dan mensia-siakan empat puluh tahun umurmu begitu saja. Oleh itu rasailah kelazatan dunia dan jamulah kehendak dan keinginan engkau sepuas-puasnya.”

Tiada Siapa Yang Selamat

Gambar hiasan

“Kemudian, kembalilah engkau bertaubat serta membuat ibadah kepada Allah. Jadi, tidaklah engkau rugi sedikit pun di dunia dan akhirat. Sesungguhnya, Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang…”

“Benar, aku telah merugikan diriku sendiri beberapa lama. Baiklah aku turun ke bawah mendapatkan adikku supaya dapat aku bersama-samanya memuaskan nafsu keinginan dunia selama dua puluh tahun, kemudian aku akan bertaubat dan kembali beribadat kepada Allah dalam umurku yang dua puluh tahun lagi…” bisik si abang.

Selepas itu, si abang turun ke bawah dengan niat untuk melakukan kejahatan dan kemaksiatan kepada Allah. Dalam pada itu, si adiknya yang selalu membuat kejahatan dan kemaksiatan mula menyedari kesilapan yang dilakukannya.

Si adik amat menyesali dirinya yang penuh dengan kekotoran dan dosa. Si adik ingin keluar dari dunia hitam yang dilaluinya. Si adik meratapi nasib dirinya yang malang.

“Oh, alangkah sia-sianya hidupku.Ruginya aku selama ini menghabiskan umurku dalam maksiat. Bodohnya aku merosakkan diri sendiri sedangkan abangku sedang mendapat kenikmatan beribadat dan akan memperolehi syurga Allah.

“Tetapi aku? Nerakalah tempat tinggalku. Demi Allah, aku bertaubat, aku akan berjumpa abangku untuk mengerjakan ibadat dan berbakti kepada Allah. semoga Allah mengampuni segala dosa-dosaku…” bisik si adik menyesali dirinya.

Maka si adik pun naiklah ke atas dengan niat untuk bertaubat sedangkan si abang pula turun dengan niat untuk melakukan kerja-kerja maksiat yang dimurkai oleh Allah.

Tiba-tiba sewaktu si abang hendak turun, maka kakinya tergelincir lalu terjatuh menimpa tubuh adiknya. Akhirnya dua-beradik itu meninggal dunia di situ juga.

Di akhirat nanti dua bersaudara itu akan dibangkitkan menurut niatnya. Iaitu si abang, seorang ahli ibadah akan dibangkitkan atas niat untuk berbuat maksiat manakala si adiknya pula akan dibangkitkan atas niat untuk bertaubat dan berbakti kepada Allah.

Bagaimanapun dalam hal ini, selagi seseorang yang berniat untuk berbuat maksiat belum melakukannya, maka tidak dikira berdosa. Tetapi Allah tetap memberi pahala kepada seseorang yang berniat baik meskipun belum melakukan kebaikan itu – Maksud hadis.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close