Sebab Mengapa Tangan Rasa Kebas | Cara Merawati Jari Tangan Kebas

Ramai yang mengalami simptom kebas tangan tertanya-tanya sebab mengapa jari tangan rasa kebas seperti dicucuk jarum. Mrs. Belalang dan Mama Belalang juga mengalami perkara ini.

Dalam mencari-cari cara mengatasi rasa kebas jari tangan ini, Belalang sempat bertanyakan kepada mereka yang pakar dan juga mencari bahan-bahan bacaan di internet tentang hal ini.

Sebab Mengapa Tangan Rasa Kebas Cara Merawati Jari Tangan Kebas

Gambar Carian Google

Hal ini sebenarnya ialah satu sindrom yang dinamakan sebagai sindrom carpal tunnel.

Apa itu Sindrom Carpal Tunnel?

Menurut Perunding Ortopedik, Tangan dan Pembedahan Mikro Hospital Beacon Dr Terence Tay Khai Wei dan Pakar Ortopedik & Traumatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam Dr Mohd Mahamud Musman,sindrom carpal tunnel atau lebih dikenali Carpal Tunnel Syndrome (CTS) terjadi apabila saraf median pada pergelangan tangan tersepit.

“Terletak di bahagian nadi pada pergelangan tangan manusia, ada bahagian yang membentuk seolah-olah terowong atau lebih dikenali sebagai Terowong Carpal.

“Di dalam terowong ini, banyak beberapa tisu penting yang melaluinya termasuk saraf. Dalam keadaan tertentu, saraf ini akan terhimpit menyebabkan kebas terutama pada ibu jari, jari telunjuk, jari tengah dan sebahagian daripada jari manis.

“Kawasan itu yang dikawal saraf di dalam terowong terbabit. Kesakitan akan berlaku disebabkan kawasan terowong yang menjadi sempit berikutan tisu sekeliling mengembang lalu menghimpit saraf berkenaan.

“Ia juga boleh berlaku pada kedua-dua tangan dan bukan hanya pada tangan yang dominan,” terang Dr Terence Tay Khai Wei.

Sebab Mengapa Tangan Rasa Kebas Cara Merawati Jari Tangan Kebas

Gambar Carian Google

Faktor dan Punca Tangan Rasa Kebas

Punca tekanan pada saraf median ini tidak dapat dipastikan dengan tepat, tetapi ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

1. Penyakit lain yang melibatkan gangguan hormon seperti diabetes, gangguan tiroid dan menopaus atau keadaan yang menyebabkan takungan cecair badan seperti wanita hamil dan amyloid.

2. Penggunaan tangan yang berulang-ulang secara berpanjangan atau kecederaan pada bahagian pergelangan tangan.

Faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko menghidap sindrom ini adalah:

* Jantina: Wanita mengalami tiga kali lebih risiko berbanding dengan lelaki. Kebanyakannya berlaku selepas menopaus.

* Keturunan: Ini berkaitan sekiranya ada di kalangan saudara-mara yang mengalami keadaan fizikal yang sama, seperti bentuk pergelangan yang sama.

* Keadaan kesihatan tertentu: Perubahan hormon seperti pada pesakit yang mengalami gangguan tiroid, obesiti, diabetes, wanita yang hamil dan mereka yang menggunakan pil perancang keluarga. Sindrom Carpal Tunnel yang berlaku semasa hamil biasanya akan hilang selepas melahirkan anak.

* Mereka yang merokok juga akan mengalami simptom Sindrom Carpal Tunnel yang lebih teruk berbanding mereka yang tidak merokok.

Cara Merawati Tangan Rasa Kebas

Ada beberapa cara dicadangkan oleh kedua-dua doktor ini dalam merawati rasa kebas tangan.

Sudah semestinya terlebih dahulu anda perlu mendapatkan daripada doktor untuk mengetahui ditahap manakah masalah anda ini berada.

Jika tidak begitu serius: Dr Tay menyarankan pengambilan vitamin seperti B6 dan B12. Tetapi jika ia berlarutan, rawatan lain akan diberikan seperti suntikan steroid setempat bagi melegakan kesakitan.

Jika masalah masih berlarutan dan tiada perubahan: Dr Mohd Mahamud Musman berkata Kaedah pembedahan pula mungkin terpaksa dilakukan dalam keadaan di mana simptom tidak dapat dirawat menggunakan cara lain atau simptom terus berlarutan dan bertambah teruk.

Pembedahan boleh dilakukan dengan cara endoskop atau dengan membuat pembedahan kecil di bahagian pergelangan tangan.

Doktor akan membuat hirisan pada ligamen carpal yang memberi tekanan pada saraf median.

Pembedahan boleh memberi perubahan yang ketara pada simptom Sindrom Carpal Tunnel tetapi kadangkala kesan seperti kebas, lemah tangan dan kesakitan mungkin akan berlarutan untuk satu tempoh masa tertentu.

Kira-kira 70 peratus pesakit yang menjalani pembedahan akan menyatakan bahawa simptom hilang sepenuhnya.

Sebab Mengapa Tangan Rasa Kebas Cara Merawati Jari Tangan Kebas

Gambar Carian Google

Anda juga boleh cuba melakukan senaman regangan pada pergelangan tangan yang hanya mengambil masa kurang seminit.

Caranya, luruskan tangan di depan dada pada laras 90 darjah. Tegakkan tapak tangan. Gunakan tangan kiri untuk menolak tapak tangan kanan ke belakang. Tahan selama 15 saat.

Ulang perkara sama pada tangan kiri. Seterusnya, rapatkan kedua-dua tapak tangan di dada. Tekan lembut kedua-duanya dan tahan antara 15 ke 20 saat,”.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan memberikan anda sedikit ilmu tentang masalah tangan rasa kebas yang anda alami.

Sumber rujukan:
Artikel dari Harian Metro Online
Artikel dari Utusan Malaysia Online

Facebook Comments

Incoming search terms:

  • kebas tangan (1)

Comments are closed.

Close