Akibat Cuba Daki Lereng Bukit | Remaja Maut Ditimpa Traktor

Malang tidak berbau, itulah nasib yang telah menimpa seorang remaja lelaki apabila traktor yang dipandunya ketika mendaki satu lereng bukit telah terbalik dan menimpanya hingga meragut nyawanya.

Menurut akhbar Sinar Harian, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 pagi ketika mangsa, Muhammad Safuan Shahrudin, 15, yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pongsu, menggunakan ‘laluan pintas’ untuk pergi ke ladang kelapa sawit milik bapa saudaranya dengan menaiki traktor.

Remaja maut ditimpa traktor

Keadaan mangsa yang maut akibat dihempap traktor. Gambar dari Sinar

Walau bagaimanapun nasib tidak menyebelahi mangsa apabila jentera traktor dinaiki mangsa dikatakan terbalik dan menimpa kepalanya.

Bapa saudara mangsa, Shahrom Mat Kassim, 52, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, dia sedang membeli minyak untuk kegunaan jentera itu sebelum menerima panggilan telefon daripada salah seorang pekerja kontraktor yang menyaksikan kejadian kemalangan membabitkan anak saudaranya itu.

“Setiba di lokasi kejadian, saya mendapati keadaan mangsa begitu menyedihkan dengan tayar hadapan traktor betul-betul berada di atas kepalanya.

“Kecederaan parah di kepala menyebabkan anak saudara saya menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kehilangannya amat dirasai memandangkan arwah rapat dengan saya,”

Remaja maut ditimpa traktor

Bagaimana kemalangan tersebut berlaku. Gambar dari Sinar

Shahrom berkata, dia turut terkilan menyuruh anak saudaranya pergi ke ladang kelapa sawit di Matang Pasir terlebih dahulu, memandangkan keputusan itu menyebabkan arwah mengambil laluan di luar kebiasaan secara tiba-tiba.

“Bagaimanapun, saya menganggap segala-galanya sudah suratan takdir dan kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah.

“Kini tiada lagi panggilan ‘ayah’ yang sering digunakan untuk memanggil saya dan kami sekeluarga akan merindui kelibat arwah,”

Kejadian ini juga diberitakan turut mendapat perhatian daripada calon Barisan Nasional (BN) Dun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan calon PKR, Rosli Ibrahim apabila kedua-duanya sempat meluangkan masa hadir ke lokasi kejadian untuk menziarahi mangsa dan keluarganya.

Facebook Comments
Close