The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 2 Ungguli Kutipan Tiket Di Amerika Utara

LOS ANGELES: Episod terakhir siri filem “Twilight” terus mengungguli kutipan tiket di Amerika Utara untuk minggu ketiga berturut-turut sejak ia mula ditayangkan.

“The Twilight Saga: Breaking Dawn, Part 2,” adalah siri kelima dan yang terakhir filem mengenai percintaan pontianak dan manusia berjaya mengutip AS$17.4 juta (RM52.93 juta), pada minggu ketiga tayangannya, demikian menurut angka yang dicatatkan oleh Exhibitor Relations.

Filem 'Twilight' Terus Ungguli Kutipan Di Amerika Utara

Kutipan itu menjadikan jumlah keseluruhan hasil jualan tiket filem berkenaan mencecah kepada AS$250 juta (RM760.61 juta) di pawagam-pawagam Amerika Utara.

Empat filem “The Twilight Saga” sebelum ini yang dihasilkan berdasarkan novel popular Stephenie Meyer bermula tahun 2008, berjaya mengumpul kutipan sehingga AS$2.4 bilion (RM7.3 bilion).

Di tempat kedua dalam carta kutipan jualan tiket ialah tidak lain dan tidak bukan filem terbaru James Bond, “Skyfall,” yang masih berjaya membuat jualan sehingga AS$17 juta (RM51.72 juta) walaupun telah memasuki minggu keempat tayangan di Amerika Utara.

Keseluruhannya, “Skyfall” telah mengutip AS$246 juta (RM748.44 juta) di pawagam-pawagam seluruh Amerika Utara.

Tempat ketiga dikongsi bersama antara filem terbaru Steven Spielberg iaitu “Lincoln,” yang dibintangi Daniel Day-Lewis dan filem “Rise of the Guardians,” iaitu sebuah filem animasi terbitan DreamWorks.

Kedua-dua filem berkenaan berjaya mengutip sekitar AS$13.5 juta (RM41.07 juta) sepanjang minggu lalu.

Day-Lewis yang menjadi popular selepas membintangi filem “The Last of The Mohicans” dan dalam lakonan terbarunya ini memegang watak sebagai Presiden Amerika yang ke-16, Abraham Lincoln disebut-sebut sebagai calon popular untuk Anugerah Oskar.

Di tempat kelima, filem fantasi dalam bentuk 3D “Life of Pi” arahan pengarah Taiwan, Ang Lee, berjaya mengutip AS$12 juta (RM36.51 juta).

Di tempat keenam ialah sebuah lagi filem animasi, “Wreck-It Ralph,” yang berkongsi kedudukan dengan filem terbaru Brad Pitt, “Killing Them Softly,” dengan kutipan sebanyak AS$7 juta (RM21.29 juta).

Pitt turut mengarah filem tersebut.

Di tangga kelapan ialah filem “Red Dawn,” dengan kutipan sebanyak AS$6.6 juta (RM20.08 juta).

Filem “Flight,” yang dibintangi Denzel Washington, yang turut dicalonkan untuk Anugerah Oskar menduduki tangga kesembilan dengan kutipan sebanyak AS$4.5 juta (RM13.69 juta).

Dan di tempat kesepuluh ialah filem seram, “The Collection,” iaitu sebuah filem mengisahkan bagaimana seorang lelaki cuba menyelamatkan dirinya daripada diburu dan dibunuh oleh seorang pembunuh bersiri.

“The Collection” berjaya mengutip AS$3.4 juta (RM10.34 juta) pada minggu pertama tayangannya.

Facebook Comments
Close