Husin, Mon & Jin Pakai Toncit

Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid menjelaskan filem terbaru arahannya, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit tidak mengulangi lawak yang pernah digunakan dalam dua judul terdahulu iaitu Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Kampung.

Mamat berkata, walaupun masih mengekalkan ‘Kampung Pisang’ sebagai latar utama karyanya itu beliau bagaimanapun memberi jaminan filem terbarunya itu segar dari segi plot, penceritaan dan elemen-elemen lawak yang digunakan.

‘Husin, Mon & Jin Pakai Toncit’

“Saya masih mengekalkan Kampung Pisang sebagai latar filem ini kerana dua filem saya sebelum ini menggunakan lokasi sama dan mahu penonton rasa dekat dengan karya terbaru saya ini.

“Bagaimanapun elemen lawak yang pernah digunakan dalam filem ‘Kampung pisang’ tidak akan diulang dalam sebaliknya kita memasukkan elemen baru supaya ia lebih segar tetapi pada masa masih ada kesinambungan dengan judul terdahulu,” jelasnya.

Mamat ditemui ketika majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan di Ipoh Parade di sini pada Sabtu lalu.

Husin, Mon & Jin Pakai Toncit bakal menemui peminat di pawagam pada 7 Februari depan.

Tambah Mamat, beliau juga tidak lagi memberi fokus kepada watak Kak Limah seperti mana sebelum ini sebaliknya mengangkat watak Husin lakonan Awie dan Mon (Ezlynn) sebagai tunjang utama.

Bagaimanapun kata Mamat, watak seperti Kak Limah lakonan Delimawati, Usop Wilcha (Syh8), Pak Jabit (Man Kadir) dan pak Abu (Allahyarham Zami Ismail) masih dikekalkan.

“Jika saya angkat lagi watak Kak Limah sekali lagi barangkali ia akan menyebabkan filem ini hambar dan sebab itu saya angkat watak Husin dan Mon yang sebelum ini bukanlah peranan utama.

“Malah saya cuba memasukkan watak baru iaitu Dr Shamsuddin lakonan Rashidi Ishak bagi memberi elemen baru kepada peranan sedia ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mamat berkata, pembikinan filem yang menelan belanja sebanyak RM1.65 juta itu turut menggunakan teknik pengimejan berkomputer (CGI) sebanyak 20 peratus bagi memberikan kesan yang lebih hebat kepada filem tersebut.

Mamat memberitahu, atas dasar itu juga Husin, Mon & Jin Pakai Toncit mengambil masa agak lama untuk disiapkan kerana ingin memastikan CGI yang digunakan dapat dibuat dengan sebaiknya.

“Kami ingin memberikan yang terbaik kepada penonton dan teknik khas yang digunakan adalah sebagai salah satu kelainan dalam filem ini dan kami ingin memastikan semuanya dilakukan dengan baik.

“Tidak mengapa lambat sedikit kerana yang lebih penting ia dapat memberikan kepuasan kepada peminat ‘Kampung Pisang’,” jelasnya.

Facebook Comments

Incoming search terms:

  • download film husin mon dan lain pakai toncit (24)
  • husin mon & jin pakai toncit review (13)
Close