Sesi Persekolah Ditangguhkan Jika Banjir Berterusan

RANTAU PANJANG – Sesi persekolahan yang bakal bermula pada 1 Jan depan bagi negeri ini hanya akan ditangguhkan jika banjir berterusan, kata Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.

Beliau berkata sebanyak 34 sekolah di negeri ini telah diwartakan sebagai pusat pemindahan banjir dan jika banjir berterusan, tiada pilihan melainkan memberi laluan kepada mangsa banjir menggunakan tempat tersebut.

Sesi persekolahan ditangguh hanya jika banjir berterusan

“Banjir sekarang berlaku pada musim cuti persekolahan, berbeza pada tahun lepas berlaku ketika sesi persekolahan baru nak buka. (Ketika itu) kita terpaksa tangguh persekolahan selama beberapa hari.

“Kita akan umum kemudian sekolah mana yang akan ditangguh sesi persekolahannya dan akan mengganti sesi tersebut pada hari lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengikuti Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Rendah Kebangsaan Gual Tinggi, di sini, hari ini.

Setakat hari ini, keadaan banjir semakin pulih dengan paras air di sungai utama mulai surut dan bilangan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan banjir berkurangan berbanding semalam.

Hussain berkata selain itu, 11 sekolah juga telah ditenggelami air kerana terletak di kawasan rendah selain 25 sekolah lagi terputus hubungan.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa dapat menghubungi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) terdekat bagi mendapatkan maklumat berhubung status persekolahan anak masing-masing.

– Bernama

Facebook Comments
Close