Remaja Sesak Nafas Disengat Obor-obor

Seorang remaja berusia 16 tahun bengkak dan cedera di seluruh badan apabila disengat ampai-ampai ketika sedang leka mandi di pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa, Shafie Sulaiman, sedang mandi di tepi pantai apabila tiba-tiba berasa belakang badannya seperti terkena renjatan elektrik sebelum berlari naik ke darat.

Sesak nafas diserang ampai-ampai di pantai

Shafie berkata, ketika dia berguling-guling di atas pasir menahan kesakitan, anggota menara penyelamat pantai bergegas berlari ke arahnya sambil cuba menenangkan keadaan.

“Seluruh badan saya sudah mula rasa gatal dan membengkak sebelum terasa sesak nafas hingga tak boleh menjerit untuk dapatkan bantuan kecemasan.

“Anggota JPAM (Jabatan Pertahanan Awam) penyelamat pantai membaringkan saya di atas pasir dan terus melumurkan losen khas ke seluruh bahagian badan. Ia membuatkan saya rasa sedikit lega, namun pedihnya masih terasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menara Penyelamat Pantai JPAM, Mohd Hairil Md Nasir ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, beliau bersama lima lagi anggota mendekati mangsa yang menggelupur sebelum merawat mangsa.

“Langkah pertama kami tenangkan mangsa yang menjerit menahan kepedihan terkena sengatan sebelum melumur losen calamine di seluruh tubuh mangsa sambil menepuk perlahan.

“Anggota mengambil masa kira-kira 15 minit untuk merawat mangsa yang kesakitan sehingga bengkak yang dialami sedikit reda dan mangsa memberitahu mampu bergerak serta berjalan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengunjung pantai supaya berhati-hati ketika bermandi-manda walaupun di tepi pantai kerana ampai-ampai boleh menyengat bila-bila masa.

“Kebiasaannya ampai-ampai akan muncul banyak di permukaan air laut pada musim melanggai udang geragau dan mengikut arah kemunculan angin barat serta selatan yang dibimbangi mengancam keselamatan pengunjung pantai,” katanya.

Facebook Comments

Incoming search terms:

  • obor-obor (13)

Comments are closed.

Close