Remaja 18 Tahun Derita Diabetes Hingga Buta

Remaja 18 Tahun Derita Diabetes Hingga Buta | Simpati pula Belalang baca tentang kisah remaja ini yang menghidapi penyakit diabetes atau dipanggil juga kencing manis semenjak usia 16 tahun hinggalah sekarang berusia 18 tahun.

Akibat penyakit tersebut, remaja yang berasal dari Sungai Petani ini juga hilang penglihatannya. Adakah ini berpunca dari pemakanan atau keturunan?

Bertukar buta sekelip mata

Di bawah ini berita penun tentang penderitaan remaja ini yang Belalang ambil dari akhbar sinar Harian. Dan kepada sesiapa yang ingin bantu meringankan beban keluarga remaja ini, boleh hubungi nombor yang tertera pada akhir perenggan.

“Saya hanya ada satu impian mahukan kedua-dua mata saya dapat melihat semula kerana ingin terus membalas jasa kedua orang tua yang sudah banyak berkorban.

Demikian luahan Syed Mohd Azhar Syed Ismail, 18, dari Kampung Bukit Berangan, Kota Kuala Muda dekat sini, apabila matanya buta dikatakan akibat kesan penyakit diabetes yang dihidapi dua tahun lalu.

Anak kelima dari enam beradik ini berkata, aktiviti hariannya yang dilakukan sendiri sebelum ini kini terbantut dan terpaksa bergantung kepada ahli keluarga.

“Kejadian ini adalah sesuatu yang tidak disangka kerana selama 18 tahun, saya dapat melihat tetapi dalam sekelip mata sahaja saya menjadi buta,” katanya.

Syed Mohd Azhar berkata, sepanjang menyambut Aidilfitri dan Aidiladha lalu, dia hanya bergantung kepada rakan-rakan yang membantu membawanya beraya memandangkan ketika itu penglihatannya sudah sedikit kabur.

“Saya disahkan menghidap diabetes sejak berusia 16 tahun dan ketika itu saya tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja berat kerana sering sakit,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani kelmarin.

Katanya, nikmat pancaindera yang dianggap sebagai anugerah sejak kecil itu seolah-olah ditarik semula apabila mata sebelah kirinya tidak dapat melihat 10 hari sebelum menjelang Aidilfitri.

Bagaimanapun, penderitaan yang ditanggung Azhar bertambah apabila kedua-dua matanya tidak berfungsi seminggu selepas Aidiladha baru-baru ini.

Ibunya, Sabariah Md Noh, 52, berkata, bagi menjaga kesihatan anaknya, dia terpaksa menyediakan makanan berkhasiat.

“Ada ketikanya teringin untuk makan juadah lain-lain tetapi apabila mengenangkan Azhar, kami sekeluarga perlu berpantang kerana kasihankan dia,” katanya.

Bapanya, Syed Ismail Syed Ali, 53, berkata, dia hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala isterinya tidak bekerja dan tidak mampu menanggung kos perubatan yang tinggi.

“Baru-baru ini kami membuat pembayaran untuk sejenis kanta bernilai RM700 namun perlu membeli sebelah lagi kanta kerana kedua-dua belah mata tidak berfungsi.

“Bagaimanapun, tahap bacaan diabetes yang berubah-ubah menyukarkan pembedahan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi sesiapa yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga ini boleh menghubungi talian 014-2428718 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02124-41-00002737-5 atas nama Syed Ismail.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close