Khabar Angin Rusuhan Kaum Di Kuala Muda | Polis Pantau Media Baru

SIK, Kedah – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau laman sosial termasuk blog bagi menyekat penyebaran berita palsu mengenai rusuhan di daerah Kuala Muda.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata mereka yang didapati masih cuba berbuat demikian akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Polis pantau media sosial sebar berita palsu rusuhan di Kuala Muda

“Kita akan pantau, jika ada bahasa, perkataan atau ayat yang digunakan itu mempunyai unsur-unsur hasutan, kita tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan menjejaki mereka yang terbabit.

“Siasatan masih berjalan ketika ini dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan atau Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan talian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Desa Selamat di Felda Teloi Timur, di sini hari ini.

Syed Ismail juga menegaskan berita yang disebarkan menerusi menerusi laman sosial, blog atau khidmat pesanan ringkas (SMS) itu tidak benar dan meminta orang ramai merujuk kepada laman Facebook rasmi PDRM, bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai insiden berkenaan.

“Inilah bahayanya Internet kerana mereka boleh menggunakan identiti orang lain, malah gambar juga boleh diganti dengan gambar kejadian di tempat lain sehingga menyebabkan pembacanya keliru.

“Tidak ada kematian yang berlaku dan polis sudah bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang sedia untuk mengawal keadaan. Jangan percaya kepada khabar angin dan jika mahu, dapatkan maklumat melalui Facebook rasmi polis,” katanya.

– Bernama

Facebook Comments
Close