Jelajah Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27)

Hanya tinggal tidak sampai dua minggu sahaja lagi, anugerah Juara Lagu 27 (AJL27), yang bertemakan ekspresi seni, akan tiba ke kemuncaknya.

Bersempena dengan itu, satu sesi jelajah bersama barisan finalis telah diadakan bertempat di Pentas Utama, Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka khusus buat peminat anugerah berprestij ini.

Bahang AJL27 kian terasa

Sesi jelajah ini disertai beberapa finalis terlibat seperti Stacy, Black dan RJ, Hazama, Aweera (Mojo), One Nation Emcess dan Jimmy Palikat, Azlan & The Typewritter dan Amir Jahari.

Menurut pengurus besar kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9, Sherina Nordin, sesi jelajah tersebut merupakan tanda sokongan penonton dan peminat setia TV3 terhadap AJL.

“AJL sudah mencapai usia 27 tahun, ini bermakna sudah 27 kali anugerah ini dijalankan. Selama ini, mungkin penonton dan peminat tidak berpeluang menemui artis kesayangan mereka dan hari ini kita bawa mereka berjumpa.

“Lagi pun tanpa sokongan besar penonton setia ini, AJL tidak mungkin dapat mencipta fenomenanya tersendiri,” katanya.

Selain semua finalis yang menyertai sesi jelajah ini, finalis yang berjaya ke pusingan akhir pada 6 Januari ini, adalah Bedroom Santuary, Shila Amzah, Hafiz dan Adira serta Yuna.

Hiburkan peminat

Tambah Sherina, pada masa sama ia juga memberi ruang kepada finalis terlibat untuk beramah mesra bersama peminat mereka.

“Sebahagian finalis terlibat turut membuat persembahan hari ini, jadi tidak rugi peminat hadir kerana mereka telah dihiburkan dengan lagu yang dicalonkan bagi AJL kali ini.

“Selain itu, bagi finalis mereka boleh menganggap ini sebagai satu latihan dan persediaan sebelum ke final nanti,” katanya.

Menariknya, ketika sesi jelajah ini, finalis turut dibawa berarak menaiki bas dua tingkat di bandar raya Melaka.

Dalam pada itu sesi jelajah yang bermula dari jam 2 hingga 6 petang ini mendapat sambutan luar biasa, yang mana lebih 500 audiens membanjiri sekitar kawasan terbabit.

Wang tunai RM10,000

Dalam memeriahkan lagi AJL ke-27 ini, TV3 tidak ketinggalan menganjurkan Peraduan Snap-Snap #AJL27 yang menawarkan hadiah menarik berupa wang tunai bernilai RM10,000 selain cenderamata eksklusif AJL27.

Jelas Sherina, untuk menyertai peraduan ini, peserta hanya perlu mengambil gambar dan menggayakan aksi paling kreatif bersama arca AJL27 yang diletakkan di empat lokasi.

“Lokasi terbabit adalah di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, gerai MyTV3 di karnival Jom Heboh, Bukit Jalil, Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka dan Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya, Pulau Pinang,” katanya ia bermula 23 hingga 30 Disember ini.

– Sinar

Facebook Comments
Close