Harimau Malaya Diberi Padang Latihan Teruk Oleh Thailand

PADANG macam sawah padi! Itu nada kecewa disuarakan pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal selepas melihat padang latihan yang digunakan Harimau Malaya di Bangkok, semalam.

Penganjur Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menyediakan padang di Jaran Buraprat untuk skuad kendalian Datuk K Rajagobal menjalani latihan namun ia tidak seperti yang diharapkan.

harimau malaya dapat layanan buruk

Keadaan permukaan padang yang berlopak, rumput tebal boleh mengundang kecederaan kepada pemain dan lebih mengecewakan, padang awam itu tanpa tempat persalinan dan bilik air.

Bagi Subahan, beliau tidak menyangka AFF dan juga Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) memberi layanan buruk kepada skuad kebangsaan yang dianggap boleh menjejaskan persiapan menghadapi Thailand pada separuh akhir kedua Piala AFF esok.

“Saya amat kecewa dengan padang latihan disediakan. Ketika Thailand datang ke Kuala Lumpur pada aksi pertama separuh akhir, kami beri layanan baik dengan menyediakan anggota polis dan stadium latihan tertutup tapi di sini mereka beri padang sawah kepada kita.

“Tindakan mereka langsung tiada semangat kesukanan, ini hanya merugikan masa latihan skuad kebangsaan di sini,” katanya.

Skuad kebangsaan tiba di Bangkok kelmarin, sehari lebih awal bagi melakukan persiapan rapi selepas seri 1-1 pada pertemuan pertama di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Menurut Subahan, beliau sudah mengemukakan laporan kepada AFF dan FAT mengenai masalah itu.

“AFF sudah dimaklumkan tapi dengan tempoh singkat ini, mereka gagal menyediakan padang lain,” katanya.

Sementara itu, Rajagobal mengaku kecewa keadaan padang membahayakan selain tidak dapat menilai tahap pemain yang cedera.

“Saya takut dengan keadaan padang teruk ini akan mencederakan pemain dan sebab itu mereka hanya memanaskan badan saja.

“Senario ini mengganggu persiapan pasukan tapi kami tidak boleh terlalu memikirkan masalah ini dan saya mahu semua pemain kekal fokus,” katanya.

Peluang terakhir Rajagobal merencana strategi adalah pada sesi latihan rasmi di Stadium Supachalasai, hari ini.

Mengulas kecederaan pemain, beliau berkata, Mohd Shakir Saari dan Wan Zack Haikal Wan Noor masih belum pasti dapat diturunkan.

Facebook Comments
Close