Banjir Disember 2012 | Kelantan, Terengganu, Johor & Selangor Mulai Banjir

Kelantan mula dilanda banjir pada Isnin setelah hujan lebat beberapa hari lalu menyebabkan Sungai Golok merentasi daerah Tanah Merah dan Rantau Panjang melimpah dan berlaku banjir di kawasan sekitar menyebabkan 18 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Menurut Portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), dengan Kelantan merupakan negeri terbaharu dilanda banjir, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan kini adalah seramai 430 orang di seluruh negara.

Kelantan Mula Dilanda Banjir Selain Terengganu, Johor Dan Selangor

Gambar hiasan

Negeri lain yang sedang dilanda banjir ialah Terengganu yang mencatat jumlahperpindahan seramai 305 orang, Selangor (91 orang) dan Johor (16 orang).

Di Kelantan, kesemua mangsa terdiri daripada empat keluarga di Kampung Tasek, Bukit Awang, Pasir Puteh yang telah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Awang sejak pukul 12 tengah malam Ahad setelah rumah mereka digenangi air sedalam hampir satu meter.

Di Terengganu tujuh pusat pemindahan dibuka melibatkan tiga daerah iaitu Setiu, Marang dan Dungun, diikuti hanya satu pusat dibuka di Johor iaitu di Batu Pahat, manakala di Selangor, tiga pusat pemindahan dibuka di Kuala Selangor dan Klang.

Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), tiga batang sungai di Terengganu melebihi paras bahaya iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Sungai Besut di Kampung La dan Sungai Berang di Kampung Menerong.

Manakala di Kelantan, Sungai Golok di daerah Tanah Merah dan Rantau Panjang juga melebihi paras bahaya.

Jabatan Meterologi Malaysia meramalkan hujan sekejap-sekejap kadang kala sederhana dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Sabtu ini.

Daerah yang dijangka terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Machang, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelanta manakala di Terengganu meliputi Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Dalam pada itu, hujan sekejap-sekejap kadang kala sederhana di Pahang dan Johor pada Isnin dijangka berterusan sehingga Rabu.

Kawasan tersebut ialah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Mersing dan Kota Tinggi di Johor. – BERNAMA

Facebook Comments
Close