Warga Emas Meninggal | Muka Ditekup Bantal Oleh Perompak

Seorang warga emas meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas mukanya ditekup bantal oleh seorang daripada dua lelaki yang merompak rumah kedainya di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu mangsa, Sadariah Ahmad, 65, sedang tidur bersama cucu lelakinya di ruang tamu rumah kedai berkenaan sebelum didatangi dua suspek itu.

Mati lemas ditekup bantal

“Suspek bersenjatakan parang dan kemudiannya mengikat tangan serta kaki mangsa bersama cucunya” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, suspek cemas apabila mangsa menjerit lalu mengikat mulut mangsa dengan kain.

“Cucu mangsa pula diikat ditangan serta diacukan parang dan suspek turut menyuruhnya menyelongkar barang di rumah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mushar berkata, seorang daripada suspek mengawal mangsa yang diikat di ruang tamu sementara rumah digeledah.

Mangsa yang diikat mulut masih menjerit menyebabkan suspek menekup muka mangsa dengan bantal.

Mushar berkata, suspek yang bertopeng berjaya melarikan wang RM500, dua bentuk cincin serta beg tangan milik mangsa.

“Jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM2,000 dan siasatan mengesan suspek sedang dijalankan” katanya.

Sementara itu, cucu mangsa, Muhammad Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, berkata, dia meminta pertolongan jiran yang baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak selepas suspek melarikan diri.

Katanya, dia turut cedera di tepi mata kiri akibat ditumbuk suspek.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close