Zeenat Bi | Wanita Kerdil Tertua Di Dunia

NEW DELHI: Seorang wanita Bhopal, India bakal ‘mencabar’ maklumat Buku Rekod Dunia Guinness apabila mendakwa dia adalah wanita kerdil tertua di dunia.

Mengaku berusia 113 tahun, Zeenat Bi berkata, dia masih ingat suasana India ketika ditadbir Inggeris dan keluarga bangsawan berpengaruh besar dalam kehidupan seharian.

Zeenat wanita kerdil tertua

Menurut wanita setinggi 91 sentimeter itu, dia melihat bagaimana Bhopal dipenuhi hutan tebal ketika zaman Inggeris bertukar wajah dari semasa ke semasa. “Pada satu ketika, Inggeris membawa roti mereka untuk kali pertama dan penduduk setempat begitu teruja melihatnya,” katanya. Jika dakwaan Zeenat itu benar, bermakna dia dilahirkan ketika British ditadbir Ratu Victoria (meninggal dunia pada 22 Januari 1901) yang menggunakan gelaran Maharani India. Rekod wanita kerdil tertua diiktiraf Buku Rekod Guinness ketika ini ialah Deforest Mason, 74. Tidak pernah berkahwin, Zeenat kini hidup dengan pencen kerajaan bernilai 272 rupee (RM15.55) sebulan dan menumpang di rumah seorang lelaki tempatan, Abrar Muhammad Khan, sejak 20 tahun lalu.

Kata Zeenat, satu-satunya harta yang ada padanya ialah katil kecil dihadiahkan bekas Ketua Menteri Bhopal, Uma Bharti.

“Dia juga pernah menghantar bantuan 2,500 rupee (RM 141) setiap bulan tetapi kini kerajaan tidak mempedulikan saya,” katanya.

Menurut Zeenat, dia mempunyai beberapa hajat sebelum meninggal dunia.

Antaranya, kata Zeenat, dia mahu bertemu bintang Bollywood, Salman Khan.

“Saya juga mahu mengerjakan haji, tetapi ia terlalu mahal dan tiada sesiapa dapat menemankan saya,” katanya. – DM

Facebook Comments

Comments are closed.

Close