Shila Amzah Beri Keutamaan Kerjaya Di China

KEBELAKANGAN ini nama penyanyi yang semakin ayu mengenakan hijab sejak Ramadan lalu, Shila Amzah mekar meniti di bibir-bibir peminat hiburan tanah air.

Hal ini berikutan kejayaannya yang berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan Shanghai Asian Wave yang diadakan pada 20 September lalu.

shila amzah

Kejayaan Shila meraih kejuaraan itu membolehkannya memperoleh dana bernilai lebih RM1 juta, merangkumi rakaman album, konsert dan promosi albumnya di China.

“Buat masa ini, keutamaan kerja saya adalah di China kerana sekarang saya berada di bawah pengurusan Shanghai Media Group di mana mereka sudah merancang konsert jelajah saya di sana,” katanya.

Tambah Shila, “selain itu, saya turut diundang untuk menjadi artis pembukaan konsert penyanyi terkenal serta juri yang mengadili pertandingan Shanghai Asian Wave, Erik Moo pada November ini.”

Sementara itu, dalam usahanya untuk mencipta nama di bumi China, Shila juga sudah mendaftar dan menghadiri kelas Mandarin untuk mengasah lagi pertuturannya dalam bahasa itu.

“Saya kini sudah memasuki kelas bahasa Mandarin kerana kalau kita mahu menambat hati peminat di sana, kita kena menguasai bahasa mereka dulu,” katanya yang akan menyanyikan lagu Mandarin ciptaan penyanyi terkenal Taiwan Wong Lee Hom dalam albumnya akan datang.

Selain itu, nama Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 22, turut tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-19 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Lagu (Wanita) dan Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Patah Seribu.

“Mengenai pencalonan akhir AIM ini, saya berbesar hati dan bangga apabila tercalon bersama-sama idola saya iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Nora.

“Bagi saya sudah tercalon sebagai finalis pun, alhamdulilah, dan saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk kedua-dua kategori yang dicalonkan itu kerana seperti sedia maklum, calon-calon lain semuanya merupakan penyanyi yang berpengalaman serta berbakat besar dalam industri seni tanah air kita.

“Walau bagaimanapun, saya tidak dapat menghadirkan pada majlis itu nanti kerana terikat dengan aktiviti seni sebagai penyanyi undangan pada konsert penyanyi terkenal serta juri yang mengadili pertandingan Shanghai Asian Wave, Erik Moo pada 17 November nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis Pengumuman Senarai Pendek Calon AIM19 yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam.

Anugerah AIM19 akan berlangsung pada 17 November ini di Stadium Melawati, Shah Alam, jam 8.30 malam.

Facebook Comments
Close