Patah Tangan Terjatuh Di Taman Permainan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas)

Seorang kanak-kanak dipercayai patah tangan kiri pada bahagian tulang bahu hingga siku ketika bermain di taman permainan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas).

Bapanya, Wan Zalizam Wan Ali, 39, berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 6.45 petang ketika dia menemani anaknya, Wan Norqudratul Najwa, 10, bermain kerana kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam wad untuk melawat pesakit.

Patah tangan ketika bermain

Bagaimanapun katanya, secara tidak sengaja Wan Norqudratul terjatuh ke lantai menyebabkan tangannya patah.

“Saya kecewa kerana lantai di taman permainan itu sudah lama rosak, tetapi pihak bertanggungjawab masih tidak mengambil tindakan untuk membaikinya.

“Nasib baik wad kecemasan dekat. Saya bergegas membawa Wan Norqudratul mendapat rawatan di wad tersebut. Lebih mengecewakan apabila saya diberitahu sudah ramai kanak-kanak menjadi mangsa hingga patah tangan,” katanya.

Wan Zalizam berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah segera untuk membaik pulih kerosakan itu kerana tidak mahu lebih ramai kanak-kanak mengalami nasib sama.

“Mengapa masih tiada tindakan jika ramai kanak-kanak menjadi mangsa di taman permainan itu? Perkara itulah dikesalkan, seolah-olah ia tidak penting.

“Ramai kanak-kanak bermain di kawasan tersebut dan tidak mustahil akan berlaku lagi kes sama jika tidak diatasi segera,” katanya.

Facebook Comments
Close