Langgar Lari | Tukang Cuci Maut Dirempuh Kereta

Seorang tukang cuci maut dalam satu kejadian langgar lari dipercayai melibatkan sebuah kereta di jambatan Sungai Kluang, kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu, motosikal mangsa, M Tana Bakyam, 61, dilanggar oleh sebuah kereta yang sedang menghala ke Bayan Baru.

Tukang cuci maut kemalangan

Tana yang berasal dari Kampung Padang Assam, Bayan Lepas kemudiannya diseret sejauh kira-kira 10 meter dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian perut.

Pemandu kereta itu bagaimanapun tidak berhenti dan melarikan diri setelah menyedari kejadian itu.

Ketua Bahagian Trafik Daerah Barat Daya, Cif Inspektor Mohd Zin Mat Ali berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang laporan yang dibuat.

“Ketiadaan laporan pemandu dan saksi yang tampil menyalurkan maklumat menyukarkan siasatan kes berkenaan.

“Kita minta pemandu itu tampil membuat laporan manakala orang ramai yang melihat kejadian itu membantu memberi maklumat,” katanya.

Menantu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Balan berkata, ibu mertuanya yang bekerja sebagai tukang cuci di kawasan perindustrian di Bayan Lepas melalui jalan itu setiap hari.

“Ibu mertua saya merupakan seorang vegetarian dan akan makan di tokong Than Hsiang di Jalan Sultan Azlan Shah setiap kali selesai bekerja.

“Saya juga tidak tahu apa yang berlaku dan kami sekeluarga anggap kejadian ini sebagai takdir.

“Bagaimanapun diharapkan pihak polis dapat menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes ini dengan segera,” katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik Bayan Lepas, Inspektor Meoh di talian 013-9285067.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close