Keputusan Undian Piala Asia 2015 | Malaysia Di Kumpulan D

Qatar

Majlis pengundian bagi kelayakan Piala Asia itu berlangsung di Melbourne, Australia hari ini.

piala asia 2015

Berdasarkan rekod sejak Piala Asia diperkenalkan pada 1956, Malaysia hanya berjaya mara ke pusingan akhir secara merit dua kali (1976 dan 1980), selain mara secara automatik selaku tuan rumah bersama pada 2007 di mana skuad yang dikendalikan Norizan Bakar ketika itu terkandas di peringkat kumpulan.

Pada kelayakan terakhir Piala Asia 2011, Malaysia tercorot dalam Kumpulan C yang hanya disertai tiga pasukan, tanpa sebarang mata sepanjang empat perlawanan dengan UAE muncul juara kumpulan, berkongsi sembilan mata bersama pasukan tangga kedua, Uzbekistan.

Pada undian yang disiarkan secara langsung di laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) iaitu www.the-afc.com, negara jiran iaitu Singapura turut berdepan laluan berliku selepas diundi dalam Kumpulan A bersama tiga lagi pasukan negara Arab iaitu Jordan, Syria dan Oman.

Juara tiga kali, Iran mengetuai Kumpulan B bersama juara 1980 Kuwait; Thailand dan Lubnan manakala naib juara Piala AFF 2010, Indonesia diundi dalam Kumpulan C bersama Iraq, China dan Arab Saudi.

Dalam pada itu, Bernama menyebut sebuah lagi pasukan Asia Tenggara iaitu Vietnam diundi dalam Kumpulan E bersama Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Uzbekistan.

Hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan bersama pemenang ketiga terbaik daripada lima kumpulan tersebut.

Empat pasukan melayakkan diri secara automatik iaitu Australia selaku tuan rumah, Jepun selaku juara bertahan manakala dua lagi slot diisi oleh Korea Selatan selaku pemenang tempat ketiga Piala Asia 2011 di Qatar serta Korea Utara selaku juara Piala Cabaran AFC tahun ini.

Slot automatik kelima akan diberikan kepada pemenang Piala Cabaran AFC pada 2014 namun badan induk bola sepak Asia itu masih belum menentukan tuan rumah.

Pusingan akhir Piala Asia 2015 dijadual berlangsung di empat bandar di Australia pada Jan 2015 iaitu Melbourne, Brisbane, Sydney dan Canberra.

Sebagai rekod, skuad bola sepak negara melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan bola sepak empat tahun sekali itu di Iran (1976), Kuwait (1980) dan 2007 selaku tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Berikut senarai kumpulan kelayakan Piala Asia 2015
Kumpulan A: Jordan, Syria, Oman, Singapura
Kumpulan B: Iran, Kuwait, Thailand, Lubnan
Kumpulan C: Iraq, China, Arab Saudi, Indonesia
Kumpulan D: Qatar, Bahrain, Yaman, Malaysia
Kumpulan E: Uzbekistan, UAE, Vietnam, Hong Kong

Facebook Comments
Close