Fahdilah Daud | Dua Tahun Derita Sakit Misteri

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Demikianlah penderitaan perlu ditanggung Fahdilah Daud, 29, dari Kampung Padang Kabar di sini, yang menderita penyakit misteri lebih dua tahun lalu.

Derita sakit misteri

Penyakit misteri itu menyebabkan bapa dua anak itu tidak dapat untuk menjalani kehidupan yang normal, sebaliknya hanya mampu berehat daripada melakukan sebarang pekerjaan berat.

Dia didakwa mengalami penyakit misteri kerana sehingga hari ini tiada pihak dapat mengesahkan jenis penyakit dideritainya walaupun selepas dirujuk kepada pakar perubatan moden ataupun pengamal perubatan tradisional.

“Kini banyak masa saya hanya dihabiskan di rumah. Kadang kala terpaksa menahan sakit jika duduk serta berdiri terlalu lama akibat penyakit yang tidak diketahui punca ini,” luah Fahdilah kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Padang Kabar di sini.

Fahdilah yang mempunyai dua anak, Nur Anis Syafika, 4, dan Mohd Faizul Naim, 9 bulan, ada kalanya menitiskan air mata namun bukan kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan tetapi buntu memikirkan bilakah penderitaan itu akan berakhir.

Malah, penyakit misteri dideritainya menyebabkan dia tidak mampu mengurus keluarga dengan baik dan hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan bagi menampung perbelanjaan harian.

Menurut Fahdilah, sebenarnya penyakit itu sudah lama dihidapi namun ia semakin teruk sehingga menyebabkan tubuhnya terpaksa direhatkan daripada melakukan sebarang bentuk pekerjaan berat bermula 12 Februari, dua tahun lalu.

“Pada mulanya saya hanya mengalami masalah susah bernafas. Tidak lama selepas itu, saya mengalami sakit sendi dan seluruh badan pula menggigil-gigil. Keadaan kesihatan saya sejak itu tidak jauh berubah sehinggalah sekarang,” katanya.

Berikutan penderitaan yang ditanggungnya itu, tanggungjawab menjaga keluarga terpaksa diletakkan di bahu ayahnya, Daud Ali, 65, dan isterinya, Norhaslida Mohd, 27, yang juga merupakan penerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan.

“Isteri saya juga menerima bantuan bulanan JKM kerana menjaga saya, jadi dengan duit sebanyak RM600 sebulan itu kami gunakan untuk menampung kos perubatan dan perbelanjaan dapur serta kos perbelanjaan dua anak kami,” katanya.

Sementara itu, Norhaslida berkata, pihaknya ingin merayu pengamal perubatan moden dan tradisional serta sesiapa sahaja untuk membantu merawat penyakit misteri yang ditanggung suaminya itu kerana keluarganya sudah buntu dan mulai putus asa.

“Kini dia hanya mampu terlantar, sedih apabila melihat keadaannya begitu kerana dia masih muda. Sepatutnya pada usia ini dia gigih mencari rezeki untuk menyara keluarga tetapi dia hanya mampu berbaring dan tidak berdaya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Fahdilah di talian 019 916 9692 atau boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Fahdilah Daud bernombor 11115-41-00004022-2.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close