Ditipu Rakan Ajak Melabur Dalam Forex

Akibat terlampau percaya dengan rakan dikenali sejak 10 tahun lalu, seorang lelaki serta tujuh sahabat dan saudara-maranya rugi RM118, 000 selepas melabur dalam skim pelaburan mata wang asing (Forex) kononnya bertapak di luar negara.

Lebih menyedihkan, dua daripada mangsa adalah pesara yang menggunakan wang pencen baru diperoleh daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Rugi RM118,000 percaya rakan

Seorang daripada mangsa, Ang Thiam Hock, 28, berkata, dia melaburkan RM38,000 kepada rakannya yang mengaku ejen syarikat pelaburan berkenaan dengan menjanjikan pulangan lumayan setiap bulan sejak April lalu. “Saya mengenali suspek sejak 10 tahun lalu daripada seorang rakan. Apabila dia mengenalkan skim Forex itu, saya tertarik dengan pulangan yang dijanjikan iaitu sebanyak lima peratus setiap bulan daripada jumlah dilaburkan.

“Dia turut meyakinkan saya supaya menambah modal dengan memujuk rakan-rakan yang lain agar pulangan yang saya terima berlipat kali ganda,” katanya ketika sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Ang berkata, dia kemudian memujuk lima rakannya untuk menyertai skim itu sebelum mereka turut melabur sehingga mencapai jumlah sebanyak RM118,000.

“Suspek tidak pernah memberikan sebarang resit atau dokumen untuk urusan pelaburan dan memberikan pelbagai alasan jika saya memintanya.

“Selepas sebulan, suspek memberikan RM280 mengatakan itu hasil pelaburan kami dan kerana tidak puas hati serta rasa tertipu, beberapa rakan ingin menarik diri dan meminta suspek memulangkan wang mereka,” katanya lagi.

Menurut Ang lagi, selepas didesak suspek berjanji memulangkan wang berkenaan, namun sehingga kini, mereka masih belum menerima sebarang pembayaran daripada lelaki berusia 28 tahun itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata, perkara itu sudah dilaporkan di Balai Polis Kepong, 9 Oktober lalu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close