Datuk Meninggal Ketika Dodoi Cucu Baru

Seorang datuk yang baru menimang cucu baru sempat mendodoikan insan dikasihi itu di buaian sebelum rebah lalu menghembuskan nafas terakhir di situ.

Ketika kejadian, mangsa, Harun Hussin, 65, yang juga bapa tiri kepada Ketua Penerangan Pas Negeri, Azman Shapawi Abdul Rani, tiba-tiba rebah lalu mengalami sesak nafas.

Temui ajal ketika dodoi cucu

Kejadian kira-kira jam 7 petang itu disedari anak perempuannya, Norazizah Harun, 39, setelah melihat bapanya itu dalam keadaan tercungap-cungap sebaik terkulai atas lantai.

Norazizah berkata, sebelum kejadian, bapanya itu datang ke rumahnya untuk menjenguk cucunya, Mohd Najmi Mohd Nasir yang baru berusia 48 hari.

Ketika itu, cucu barunya itu menangis lalu arwah sempat mendodoikannya di buaian.

“Selepas makan bubur kacang, ayah yang ketika itu sedang menghayun buaian cucunya tiba-tiba rebah.

“Saya cuba membantunya lalu terus menghubungi adik-beradik lain untuk memaklumkan tentang kejadian itu,” kata Norazizah.

Sementara itu, Azman Shapawi yang ditemui berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap untuk menuju ke Kuala Berang bagi menghadiri satu ceramah Pas di sana.

Sebaik mendapat tahu kejadian menimpa bapa tirinya itu, Azman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang terus pulang, namun kakitangan hospital yang tiba setelah dihubungi memaklumkan bahawa arwah sudah meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham Harun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Merah, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Turut hadir menziarahi keluarga arwah termasuk Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Satiful Bahri Mamat, Yang DiPertua Pas Kawasan, Wan Hassan Mohd Ramli serta Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian, Annuar Abdul Rahman.

Facebook Comments
Close