Bekas Imam Hadapi Tuduhan Pukul Suspek Khalwat

Enam lelaki termasuk seorang bekas imam didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam atas tuduhan memukul tiga orang termasuk seorang wanita menggunakan cota besi, dua tahun lalu.

Md Isa Md Tahir, 27, Nazri Karim, 25, Abdullah Md Tahir, 22, Razali Abdol Bozik, 43, Zulkifli Ahmad, 52, dan Mohd Suhairi Abu, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ke atas mereka.

pukul pasangan khlawat

Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan cota besi terhadap Hazizul Fazudin Hashim, 25, Mohammad Zarul Safuan Abd Razak, 23, dan Norshikin Abdul Malek, 18.

Mereka melakukan kesalahan itu di atas jalan raya, Masjid Felda Air Kangkong, Selandar, Jasin kira-kira 12.30 tengah malam, 15 Mac 2010.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Bela Muhammad Hazri Hanafi memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya dari golongan susah.

“Berdasarkan keterangan semua tertuduh walaupun tidak dibuktikan lagi, mangsa yang dipukul di kawasan masjid itu adalah kerana ditangkap khalwat,” katanya.

Hakim Abu Bakar Katar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Facebook Comments
Close