Ajaran Sesat | Amal Kahwin 44 Wanita Untuk Jadi ‘Ketua’

Menggunakan pernikahan sebagai kaedah mengumpul pengikut, ada kumpulan tertentu di beberapa negeri di negara ini dikesan cuba menyebarkan ajaran bertentangan Islam menerusi perkahwinan seramai mungkin perempuan yang berhasrat mahu belajar agama.

Didalangi mereka yang menggelarkan diri sebagai ustaz serta berimej warak, ajaran berkenaan juga mensyaratkan pengamalnya supaya bernikah 44 wanita untuk menjadikannya ‘ketua’ untuk merekrut pengikut taksub berkenaan.

ajaran sesat

Gambar Hiasan

Mendedahkan perkara itu kepada Harian Metro, Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai cubaan itu di beberapa negeri, minggu lalu.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh beberapa pegawai penguat kuasa agama negeri berkenaan yang kemudiannya meminta SukaGuam membawa perkara itu kepada pihak berwajib bagi membolehkan tindakan susulan diambil. “Taktik digunakan mudah iaitu dengan berkahwin lebih daripada had poligami dibenarkan dan kumpul pengikut. Kebanyakan daripada mereka ingin belajar agama atau berhijrah kepada kehidupan baru, jadi kesempatan itu digunakan pengamal ajaran ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Khairul Anwar berkata, ajaran terbabit dikesan songsang selepas pengamalnya perlu mencukupkan kuota 44 isteri sedangkan di dalam Islam, suami dibenarkan berpoligami empat saja manakala pengikut yang ‘senior’ dibenarkan merekrut pelatih untuk menambahkan bilangan ahli kumpulan.

Justeru katanya, pihaknya menggesa jabatan atau agensi berwajib memandang serius perkara itu kerana ia boleh menjejaskan akidah umat Islam terutama yang ingin mendalami ilmu agama selain ia merosakkan institusi kekeluargaan.

“Satu pertemuan diadakan dengan pihak berkuasa agama di setiap negeri untuk mengumpul maklumat mengenai perkara itu dalam masa terdekat kerana kita percaya ada banyak kes penyelewengan agama yang tidak didedahkan kerana mangsa tidak mahu tampil memberikan kerjasama. “Saya berharap mereka yang mempunyai maklumat berkaitan atau pernah menjadi mangsa merujuk kepada agensi berwajib atau menghubungi SukaGuam,” katanya.

Facebook Comments
Close