Tiga Sahabat Dituduh Rogol Gadis Bawah Umur Bergilir-gilir

Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam setelah ditahan pihak polis kerana dituduh merogol seorang gadis bawah umur secara bergilir-gilir dalam bilik sebuah rumah tidak bernombor kawasan projek pertanian komoditi Kampung Janglau, Rompin, 17 September lalu.

Pertuduhan terhadap, Mohamad Redzuan Noorazlan, 19, dari Sungai Puteri Rompin, Mohamad Hafis Haikal Rahayub, 18 dari Kampung Janglau dan Ahmad Sauqi Abdul Rahman, 18 beralamat di Kuarters Pusat Pembangunan Komoditi Janglau dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

rogol bergilir-gilir

Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam mereka, Mohd Fadzli Mohd Ramly bagaimana pun mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Samsuddin itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga rakan terbabit didakwa merogol mangsa yang baru berusia 13 tahun sembilan bulan secara bergilir-gilir antara jam 11.30 hingga 12 tengah malam, 17 September lalu.

Berikutan perbuatan mereka itu, satu laporan polis dipercayai dibuat keluarga mangsa sehingga membawa kepada penahanan tertuduh awal pagi 19 September lalu.

Bagi kesalahan itu mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh bagaimana pun Mohd Fadzli tampil membuat rayuan mewakili anak guamnya memohon jumlah itu dikurangkan.

Dalam rayuannya itu, Mohd Fadzli memberi alasan, tertuduh pertama bekerja sebagai buruh ladang dengan pendapatan RM500 sebulan dan terpaksa menanggung ibu serta empat adiknya.

“Sementara itu, tertuduh kedua yang mempunyai enam adik beradik masih ditanggung keluarga dengan hasil pendapatan bapanya sebagai nelayan manakala Ahmad Sauqi terpaksa menyara keluarga termasuk lima adiknya dengan pendapatan sebanyak RM800 sebagai kelindan lori,” katanya.

Disebabkan kemampuan keluarga ketiga-tiga tertuduh yang terhad dia memohon kepada mahkamah agar menetapkan jaminan ke atas anak guamnya sebanyak RM2,000.

Bagaimana pun jumlah yang dimohon itu ditolak mahkamah kerana terlalu rendah sedangkan hukuman yang diperuntukkan untuk kesalahan tersebut penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah juga tidak dapat mempertimbangkan rayuan tertuduh untuk mendapatkan separuh daripada jumlah yang ditawarkan sebaliknya menetapkan jaminan RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin manakala 29 Oktober depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes itu seterusnya dalam mahkamah sama.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close