Tiga Jam Usung Pelajar Cedera Turun Di Gunung Tebu

Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara, Marang terpaksa diusung turun oleh pasukan penyelamat selepas mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti merentas trek di kaki Gunung Tebu, kelmarin.

Ketua Operasi Menyelamat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Wan Bukhari Wan Musa berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai seorang pelajar yang sedang mengadakan aktiviti treking di laluan mendaki
Puncak Gunung Tebu tidak dapat berjalan akibat terseliuh kaki.

Tiga jam usung pelajar

Menurutnya, pelajar tingkatan enam rendah sekolah berkenaan, Fadlina Abu Bakar, 18, bagaimanapun berjaya dibawa turun daripada ketinggian kira-kira 4,500 meter dari aras laut ke kaki gunung itu di Lata Belatan kira-kira jam 6 petang.

“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tiga jam mengusung mangsa yang lemah dan tidak dapat berjalan akibat kecederaan kecil yang dialaminya sebelum tiba di Lata Belatan,” katanya.

Wan Bukhari berkata, sebelum kejadian, kumpulan pelajar yang diiringi guru masing-masing sedang melakukan aktiviti perkhemahan di Lata Belatan dan mengikuti aktiviti merentas hutan.

Menurutnya, kumpulan pelajar terbabit yang diiringi guru berkenaan hanya sekadar melakukan aktiviti treking di sebahagian laluan ke puncak itu tetapi selepas melepasi Sungai Y, pelajar tersebut terseliuh.

“Keadaan pelajar itu yang terkejut menyebabkannya semakin lemah dan tidak mampu berjalan menyebabkan dia terpaksa diusung secara bergilir oleh pasukan penyelamat ke bawah dengan berhati-hati disebabkan keadaan muka bumi yang tidak sekata.

“Kami terpaksa menggunakan dua batang kayu yang diikat pada pengusung bagi memudahkan untuk kita memegang dan mengusung mangsa,” katanya.

Sebaik tiba di Lata Belatan, mangsa terus dihantar menggunakan ambulans JPAM ke Hospital Besut dan keadaannya stabil.

Facebook Comments
Close