Remaja 15 Tahun Derita Koma Dibakar 2 Bulan Sebelum Meninggal Dunia

Hanya kerana mahu menghalang sekumpulan individu cuba mencuri minyak petrol motosikal milik ibunya, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun bertarung nyawa dan terlantar di hospital dua bulan selepas dibakar hidup-hidup individu terbabit di Desa Idaman, Taman Sentosa, di sini, 29 Julai lalu.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia di Hospital Selayang (HS), di sini, jam 6.30 pagi semalam.

Mati lepas dua bulan dibakar

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, P Yugavinayagar,15, ditemui jiran dalam keadaan terbaring dengan keseluruhan badannya melecur berhampiran motosikal di tempat meletak kenderaan pangsapuri.

Mangsa yang cedera serius di seluruh anggota badan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebelum dirujuk ke HS untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kecederaan akibat kebakaran yang dialami menyebabkan mangsa koma sepanjang ditempatkan di HS selain kaki kanannya dipotong kerana mengalami jangkitan kuman.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, mangsa dipercayai dibakar individu tidak dikenali gara-gara berang perlakuannya mencuri minyak dari motosikal disedari mangsa.

Katanya, polis masih menyiasat motif dan punca kejadian memandangkan tiada saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian.

“Polis mendapat laporan mengenai kejadian dua hari selepas insiden apabila ibu mangsa membuat laporan polis.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan terperinci terus dijalankan,” katanya.

Mohamad berkata, berdasarkan laporan awal mendapati mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman berfungsi selepas mengalami cedera serius akibat dibakar.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 435 KK kerana khianat dengan menggunakan api.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close