Polis Patah Gigi Bergelut Dengan Perompak

Seorang anggota Balai Polis Subang Jaya patah gigi, luka di lengan dan lutut kanan selepas bergelut dengan seorang penjenayah yang cuba menyerangnya dengan parang dalam kejadian di Persiaran Kewajipan berhampiran SS14, di sini, tengah malam semalam.

Dalam kejadian pada jam 12.50 tengah malam, anggota itu yang berusia 20-an bersama empat lagi rakan setugas mengejar tiga suspek lelaki yang menaiki motosikal yang cuba menyamun di SS16, di sini.

Polis hilang gigi

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sebelum kejadian, anggota polis berkenaan melakukan rondaan bermotosikal pencegahan jenayah dan pemantauan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) apabila terserempak tiga lelaki mencurigakan.

“Anggota berkenaan menghampiri dua lelaki terbabit yang menaiki satu motosikal, manakala seorang lagi menunggang sendirian untuk membuat pemeriksaan identiti.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek memecut motosikal mereka menghala USJ1 menyebabkan anggota polis berkenaan mengejar,” katanya.

Menurutnya, anggota polis berkenaan berjaya memintas sebuah motosikal dinaiki dua suspek sebelum pemboncengnya terjatuh.

“Ketika mengejar, seorang suspek yang membonceng mengeluarkan parang panjang dari dalam bajunya lalu melibas ke arah anggota polis yang menghampiri dengan motosikal.

“Namun, tiba-tiba lelaki terbabit terjatuh dan cuba lari dengan melompat pembahagi jalan menuju SS14, manakala dua rakannya melepaskan diri,” katanya.

Katanya, seorang anggota polis mengejar suspek terbabit dan mengepungnya di tempat kejadian sebelum suspek nekad menyerang dengan parang panjang.

“Anggota polis berkenaan bergelut dengan suspek dan dalam pergelutan itu dia terlepas satu tembakan.

“Tembakan itu mengenai cermin hadapan sebuah kereta yang melalui tempat kejadian, tetapi tidak mencederakan pemandu dan penumpangnya,” katanya.

Yahaya berkata, suspek terbabit diberkas dan dibawa ke Balai Polis Subang Jaya untuk tindakan lanjut, manakala parang berukuran 68.5 sentimeter yang digunakan untuk menyerang polis turut dirampas.

“Siasatan mendapati, suspek berusia 22 tahun berada dalam keadaan khayal ketika kejadian apabila ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Sehubungan itu, Yahaya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lagi suspek supaya diminta menghubungi talian 03-78627222 atau balai polis berhampiran.

Facebook Comments
Close