Permintaan Nenek Umur 108 | Segera PM Bubar Parlimen

Seorang wanita berusia 108 tahun meminta Datuk Seri Najib Tun Razak supaya segera bubarkan Parlimen bagi membolehkan dia mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Halimah Muda, penduduk Rantau Abang di sini berkata, dia bimbang jika Perdana Menteri lewat mengadakan pilihan raya, dia mungkin terlepas peluang untuk mengundi.

Nenek 108 tahun minta PM bubar Parlimen segera

“Nenek sudah tua. Sudah 108 tahun. Bila ALLAH nak ambil umur pun kita tak tahu. Tapi apabila dalam umur macam ini, biasanya sudah tak lama. Kerana tu, nenek harap sangat dapat mengundi, mungkin untuk kali penghabisan,” katanya.

Halimah, yang dilahirkan pada 1904 mempunyai 12 anak, berpuluh-puluh cucu dan cicit itu berkata, dia tidak ingat bila dia mula mengundi.

“Yang nenek ingat, sudah lebih daripada 10 kali (undi). Pendek kata, setiap kali ada pilihan raya sejak muda dulu, nenek tak pernah ketinggalan,” katanya.

Meskipun matanya kabur dan sering sakit, Halimah masih tetap bersemangat untuk keluar mengundi pada pilihan raya akan datang.

“Sejak dulu lagi, kalau tak dapat berjalan ke tempat mengundi, ada kereta datang ambil di rumah. Yang penting, nenek tahu di mana tempat nak pangkah. Kertas undi masih boleh nampak,” katanya.

Halimah dikesan Umno Bahagian Dungun melalui semakan daftar pemilih dengan kerjasama Sekretariat Teknologi Maklumat Daftar Pemilih Umno Negeri.

Dia menarik perhatian kerana bakal menjadi pengundi tertua di kawasan Parlimen Dungun dan besar mungkin, yang tertua di Malaysia.

Facebook Comments
Close