Penganjur Janji Demokrasi Nafi Beri Arahan Tukar Bendera

Penganjur Himpunan Janji Demokrasi menegaskan, mereka tidak memberi arahan kepada penyokong yang hadir di Dataran Merdeka, malam kelmarin untuk membawa bendera lain dan melakukan provokasi menukar Jalur Gemilang.

Jawatankuasa Gabungan Janji, Maria Chin Abdullah berkata, penganjur juga tidak memberikan arahan untuk mengedarkan risalah menukar Jalur Gemilang kepada bendera yang dikibarkan oleh sekumpulan remaja yang hadir di Dataran Merdeka.

Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada mereka yang membawa bendera berkenaan dan mengedarkan risalah adalah daripada penyokong Himpunan Janji Demokrasi atau tidak.

“Oleh kerana ramai yang pergi ke sana untuk menyambut merdeka, saya tidak tahu siapa mereka sebenarnya,” katanya.

Beliau sendiri tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh beberapa remaja tersebut.

“Sepatutnya mereka tidak boleh berbuat demikian kerana kita mesti menghormati Hari Kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ekoran tindakan sekumpulan remaja mengibarkan bendera berwarna merah, putih dan kuning dan mengedarkan risalah menukar Jalur Gemilang di Dataran Merdeka.

risalah tukar bendera malaysia

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi negatif terhadap sambutan Hari Kemerdekaan dan Himpunan Janji Demokrasi yang berlangsung secara aman di Dataran Merdeka, kelmarin.

Beliau menegaskan beliau tidak mengetahui kewujudan bendera lain selain Jalur Gemilang dalam himpunan tersebut.

Menurutnya, kemungkinan ada pihak yang mahu timbulkan persepsi negatif disebabkan program yang dianjurkan Jawatankuasa Gabungan Janji itu mampu dijalankan dalam suasana harmoni.

“Saya tidak tahu tentang bendera ini walaupun saya hadir perhimpunan itu, namun saya berpendapat ini mungkin tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk cetuskan spekulasi.

“Saya menggesa semua pihak agar tidak merosakkan suasana sambutan kemerdekaan dengan spekulasi mengenai isu bendera ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close