Pemilik Kehilangan Kereta BMW Cetus Tanda Tanya

Kehilangan sebuah kereta jenis BMW berwarna perak menjadi tanda tanya apabila sebuah lagi kenderaan mewah yang berada berhampiran tidak hilang.

Anak mangsa, Mohamad Hazrin Che Rahim, 20, berkata, perkara itu disedarinya kira-kira jam 7 pagi kelmarin semasa melalui kawasan kediaman bapanya di Taman Lembah Tupai, di sini.

Pelik kereta BMW hilang

Menurutnya, rumah berkenaan kosong kerana bapanya mempunyai urusan di negeri lain.

“Sepanjang ketiadaan bapa, saya sering melalui kawasan rumah bapa untuk meninjau keadaan rumah.

“Kali terakhir saya melalui rumah ini pada 9 September lalu, kira-kira jam 5 petang dan kedua-dua kereta milik bapa masih berada dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian ketika hadir di Pejabat Agensi Suria Padu, di sini, semalam.

Namun keesokannya harinya, Mohamad Hazrin terkejut apabila kereta jenis BMW milik bapanya hilang dan pintu pagar yang sebelum ini berkunci telah dikopak.

“Apa yang menghairankan saya, sebuah lagi kenderaan jenis Mercedes masih berada dalam keadaan baik walaupun ia tidak berkunci.

“Saya dan keluarga masih tertanya-tanya bagaimana kejadian seumpama itu boleh berlaku kerana hanya BMW sahaja hilang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hazrin berkata, pada 27 Julai lalu, bapanya ada menghantar kenderaan tersebut ke sebuah bengkel di Simpang untuk dibaiki.

“Namun pada hari sama, telah dimaklumkan bahawa kunci utama kenderaan tersebut hilang.

“Bapa saya terpaksa balik semula ke rumah untuk mengambil kunci pendua dan pihak pengurusan syarikat berkenaan berjanji untuk menggantikan kunci yang baru,” katanya.

Tambah beliau, selepas kejadian itu, bapanya bercadang untuk membuat laporan polis namun, pihak bengkel meminta tempoh untuk mereka mencari atau menggantikan kunci baru.

“Kami masih bersabar menunggu, namun hingga sekarang ia masih belum berjaya diganti,” katanya.

Hazrin berkata, sebelum hilang iaitu pada hujung Ogos lalu, bapa sekali lagi menghantar kenderaan tersebut ke bengkel sama untuk menukar kotak gear dan siap pada 5 September lalu.

“Dan hari ini kenderaan tersebut telah hilang, menyebabkan kami sekeluarga berasa tidak puas hati.

“Mungkin mereka yang melakukan perkara tersebut adalah individu yang pakar atau mungkin memiliki kunci utama.

“Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh berkata, perkara tersebut masih belum ada sebarang keputusan.

“Oleh itu, pihak saya akan menunggu siasatan daripada pihak polis dan penyelaras insurans sebelum membuat sebarang keputusan berhubung status kes berkenaan.

“Diharap agar pihak polis segera menjalankan siasatan terhadap kes ini,” katanya.

Facebook Comments
Close