Nabil Ahli Kumpulan Boboi Terbaru Dikenali Sebagai ‘Boboi Nge’

Mungkin ramai sudah mendengar ura-ura bahawa Raja Lawak musim ke-2, Nabil Ahmad akan menyertai kumpulan Boboi bersama Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik. Berita itu ternyata benar apabila Afdlin akhirnya mengesahkan perkara itu.

Menurut pengarah, pelakon dan pelawak terkenal ini, Boboi telah sebulat suara untuk mengambil Nabil sebagai anggota kekal mereka.

Nabil sertai Boboi!

“Sebenarnya, idea untuk mengajak Nabil menyertai kami dibuat selepas mendapat tahu dia masih berfikir sama ada untuk menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM2) yang akan diadakan tak lama lagi.

“Bila saya tanya dia sama ada dia nak sahut cabaran MLM2 atau tidak, dia masih tidak boleh membuat keputusan, katanya dia bimbang untuk membuat persembahan secara solo.

“Jadi, saya pelawa dia untuk bersama Boboi dan dia menerimanya,” ujar Afdlin ketika ditemui pada sidang media Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya, Selasa lalu.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Nabil, Afdlin berkata, dia dapat merasakan keserasian antara mereka bertiga.

“Kami sudah beberapa kali bekerjasama sebelum ini menerusi filem. Satu yang saya nampak apabila kami bergabung, golongan peminat pastinya menjadi lebih luas.

“Malah penyertaan Nabil juga melengkapkan kombinasi tiga pelawak generasi dalam kumpulan ini. Misalnya, Harun bagi pelawak berusia, saya semi usia dan Nabil yang masih muda, ” katanya memberikan gelaran Boboi nge (Boboi telinga) kepada Nabil.

Manakala dia Boboyot dan Harun, Boboi We.

Facebook Comments
Close