Majikan & Pekerja Kantoi Lakonan Kaku | Cuba Elak Ditahan Imigresen

Tindakan seorang majikan mengarahkan seorang pekerja warga asingnya menyamar pelanggan warga tempatan di gerai menjual ikan miliknya di Pasar Besar Klang, Jalan Meru, di sini, semalam bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen gagal apabila lakonan lelaki Bangladesh itu tidak menjadi.

Padah memaparkan ‘lakonan’ kaku serta gerak-geri mencurigakan, warga Bangladesh berusia 39 tahun itu ditahan Jabatan Imigresen dalam Ops 6P selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.

Padah lakonan kaku

Turut ditahan majikannya yang juga penjual ikan atas kesalahan melindungi pekerja warga asing.

Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, lelaki Bangladesh itu antara 68 warga asing berusia 22 hingga 45 tahun yang ditahan dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan.

“Mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki pasport, melanggar syarat Imigresen dan menetap di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan,” katanya.

Katanya, mereka yang ditahan dalam operasi bermula jam 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari itu terdiri daripada 24 warga Myanmar, Indonesia (21), Bangladesh dan Nepal masing-masing lapan serta empat warga India. Turut ditahan dua lelaki warga China dan seorang lelaki warga Thailand kerana mengemis di situ.

“Daripada jumlah itu, 10 wanita warga asing turut ditahan,” katanya. Othman berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk siasatan lanjut.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah bekerja dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 40-an yang juga majikan seorang daripada pekerja warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 55B akta sama kerana mengambil orang asing bekerja dengan memiliki pas pekerja sah.

Facebook Comments
Close