Kereta Bergerak Sendiri Sebelum Terbakar Jadi Misteri

Sebuah kereta yang tiba-tiba terbakar di Taman Bukit Baru, berhampiran sebuah pasar raya di Ayer Keroh, di sini, semalam menjadi tanda tanya apabila dikatakan sebelum kejadian bergerak sendiri sejauh kira-kira lima meter dari kedudukan asal.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang, kereta jenis Toyota Corolla yang didakwa begerak tanpa pemandu dan dipakir di bahu jalan kawasan perumahan itu turut merempuh sebuah kereta Perodua Kelisa di hadapannya.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua kereta milik dua pekerja kakitangan pasar raya berhampiran taman perumahan berkenaan terbakar di bahagian hadapan enjin.

Pemilik kereta yang enggan dikenali mendakwa dia telah menarik brek tangan ketika meletakkan keretanya di kawasan itu selepas masuk semula bekerja kira-kira 2.10 petang.

Wanita berusia 48 tahun yang bekerja sebagai jurujual berkata sering meletakkan kenderaan di situ seperti kebanyakan kakitangan lain.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Ayer Keroh, Musa Dora berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota bomba dan penyelamat bergegas lokasi kejadian.

“Api yang marak di bahagian hadapan kedua-dua kereta tersebut berjaya dikawal pada jam 2.51 dan padam sepenuhnya lima minit kemudian.

“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian dialami masih dalam siasatan. Bagaimanapun kebakaran tidak membabitkan kemala-ngan jiwa,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close