Kerana Ikan Pekasam | Jiran Bergaduh Kerana Tak Tahan Bau

Gara-gara tidak tahan bau ikan pekasam yang digoreng, dua jiran bertengkar hingga nyaris mencederakan antara satu sama lain.

Sumber polis berkata, jiran yang tinggal bersebelahan itu mula bertengkar apabila seorang daripada mereka menggoreng ikan pekasam untuk hidangan makan malam.

bergaduh kerana ikan pekasam

Gambar hiasan. Carian Google

“Bagaimanapun, bau ikan pekasam yang digoreng itu menimbulkan rasa kurang senang jirannya.

“Kita difahamkan, jiran berkenaan cuba bersabar namun kemarahan tidak dapat dibendung kerana bau kurang menyenangkan itu berlarutan sehingga mengganggu rehatnya.

“Disebabkan bau itu, dia menjerit memanggil jirannya,” katanya.

Menurutnya, berang kerana tidak diberikan respons, dia terus menerpa ke rumah jirannya dan menyebabkan keadaan tegang serta berlaku pertengkaran antara keduanya.

“Masing-masing mempertahan tindakan dan pertengkaran berlaku selama beberapa minit.

“Suasana kembali pulih selepas kedua-dua mereka ditenangkan saudara dan jiran terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, keluarga yang tidak berpuas hati dengan tindakan jirannya menggoreng ikan pekasam itu terus membuat laporan di Balai Polis Pelabuhan Klang.

Dalam laporan tersebut, keluarga berkenaan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan kerana aktiviti jirannya menggoreng ikan pekasam mengganggu ketenangannya dan keluarga serta mahu keberadaan mereka yang tinggal bersebelahan dihormati.

Facebook Comments
Close