Kedai Makan Halim 2 By 2 Terbakar | syak Angkara Khianat

“Raya Aidilfitri tahun ini adalah detik malang keluarga saya apabila sumber rezeki yang saya usahakan sejak 2000 musnah dalam kebakaran,” kata A Halim Mamat, 37, setelah kedai makan diusahakan bersama isterinya, terbakar di Seksyen 2, Wangsa Maju di sini, minggu lalu.

Bekas anggota kumpulan 2 By 2 itu berkata, dia tidak menyangka segala pengorbanan dan penat lelah bersama isterinya, Norsalawati Karman, 35, selama 10 tahun musnah dalam sekelip mata.

Kedai makan terbakar angkara perbuatan khianat, kata Halim 2 By 2

Bapa kepada empat cahayamata itu berkata, dia terkejut dengan kejadian itu dan berdasarkan maklumat saksi, dia percaya kejadian itu angkara perbuatan khianat

Menurutnya, dia kini buntu memikirkan keadaan nasib keluarganya kerana kedai makan itu adalah satu-satunya sumber utama pendapatan keluarga setelah beliau dan isterinya, yang juga bekas penyanyi kumpulan Genuine ,mengambil keputusan berhenti menyanyi dan mengusahakan kedai makan.

“Sukar untuk mempercayai kejadian ini menimpa pada keluarga setelah pengorbanan saya dan isteri berhenti dari menyanyi menerima dugaan cukup besar pada hari raya Aidilfitri kali ini, Bagaimanapun, saya reda,” katanya kepada Sinar Harian.

Halim berkata, sewaktu jam 1 pagi, hari kejadian, terdapat saksi ternampak api di bawah meja sewaktu kedainya masih belum beroperasi kerana cuti hari raya.

Menurutnya, isterinya menerima panggilan telefon dari sepupu memaklumkan kedai makan terbakar,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Koay Eng Heng, 31, berkata, dia ternampak api kecil bermula dari meja makan ketika pulang ke rumahnya pada kira-kira jam 1 pagi.

Dia yang merupakan pelanggan tetap kedai Halim berkata, ternampak sesuatu seperti kain atau kanvas di bawah meja di kedai makan Halim, mungkin untuk memudahkan api bernyala.

Kejadian malang yang menimpa bekas artis tersebut mendapat simpati Pengerusi Pusat Khidmat Barisan Nasional Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look yang turut meninjau lokasi kejadian di Seksyen 2.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan mengenai dua rumah sampah di Seksyen 2 Wangsa Maju yang dibakar dan dipercayai angkara perbuatan khianat oleh penagih dadah.

Facebook Comments
Close