Hal David Penulis Lirik Raindrops Keep Fallin’ on My Head Meninggal

PENULIS lirik Raindrops Keep Fallin’ on My Head, Hal David meninggal dunia pada usia 91 tahun akibat komplikasi daripada strok pagi semalam.

Laporan Associated Press memetik isterinya, Eunice David berkata, mendiang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Cedars-Sinai, Los Angeles.

hal david

“Beliau telah diserang teruk strok Mac lalu dan sekali lagi Selasa lalu,” kata isterinya kepada pemberita.

Sebelum ini, mendiang terkenal kerana menghasilkan lagu-lagu yang menyentuh perasaan dan mempunyai gaya tersendiri.

“Walaupun di akhir-akhir hayatnya, David mempunyai lagu dalam kepalanya,” katanya.

“Beliau sentiasa menulis nota atau meminta saya mengambil nota kerana dia bimbang akan lupa lirik,” kata isterinya lagi.

Sebelum ini, mendiang pernah bekerjasama dengan Burt Bacharach untuk menghasilkan berpuluh-puluh lagu tema untuk filem, program televisyen dan pelbagai artis rakaman pada 1960-an.

Selain itu Bacharach dan David juga merupakan antara pasangan penulis lirik dan komposer yang paling berjaya dalam sejarah moden kerana berjaya menghasilkan 40 lagu-lagu hits termasuklah Raindrops Keep Fallin’ On My Head, ‘(They Long to Be) Close to You dan That’s What Friends Are For.

Walaupun kebanyakan masa mendiang dikaitkan banyak bekerjasama dengan Dionne Warwick, muzik mereka banyak dinyanyikan oleh penyanyi popular bermula daripada Beatles dan Barbra Streisand sehinggalah kepada Frank Sinatra serta Aretha Franklin.

Sementara itu, lagu Raindrops Keep Fallin’ on My Head dari filem Butch Cassidy and the Sundance Kid telah membawa tuah kepada mereka selepas memenangi Anugerah Oscar.

Dalam pada itu, David turut menyertai Lembaga Pengarah Persatuan Komposer, Pengarang dan Penerbit Amerika Syarikat (AS) pada 1974 dan mula berkhidmat sebagai presidennya dari 1980 sehingga 1986.

Beliau juga menjadi ketua penulis lagu Hall of Fame mlai 2001 sehingga 2011 dan menyandang jawatan sebagai Pengerusi Emeritus.

Facebook Comments
Close