Guru Mangsa Samun & Simbah Air Panas Sepasang Kekasih

Sepasang kekasih nekad membawa kayu panjang dan sebaldi air panas sebelum menyerang serta menyamun seorang guru yang sedang mengajar puluhan anak muridnya di sebuah sekolah rendah di Petaling Jaya, di sini.

Dalam kejadian jam 8 malam Ahad lalu, mangsa, seorang wanita berusia 22 tahun sedang mengajar tuisyen sempena persediaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Simbah air panas

Akibat serangan berkenaan, mangsa melecur di tangan dan sebelah kanan badan selepas disimbah air panas.

Menurut sumber, mangsa yang sedang mengajar didatangi seorang wanita dan seorang lelaki tidak dikenalinya dipercayai pasangan kekasih.

“Suspek (wanita) meluru masuk ke dalam bilik darjah sebelum memarahi mangsa. Mangsa yang tidak mengetahui punca sebenar kemudian mempersoalkan tindakan wanita terbabit.

“Belum sempat mangsa berkata apa-apa, lelaki yang menemani wanita itu terus meluru masuk dengan memegang kayu panjang dan sebaldi air panas,” katanya.

Sumber berkata, lelaki terbabit cuba menyimbah air panas dibawanya itu kepada mangsa.

“Tindakan guru berkenaan yang cuba menghalang perbuatan lelaki terbabit menyebabkan tercetusnya pergelutan antara mangsa dan suspek sambil disaksikan puluhan murid dalam bilik darjah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, selepas bergelut mangsa sempat menolak kedua-dua pasangan terbabit keluar dari bilik darjah selain merampas baldi yang digunakan sebelum mengunci pintu.

“Bagaimanapun, mangsa melecur di badan dan tangan sebelah kanan akibat terkena air panas dibawa pasangan berusia 20-an itu,” katanya ketika ditemui.

Pasangan terbabit sempat melarikan telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa yang dianggarkan bernilai lebih RM5,000.

Sumber berkata, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa melecur lebih 30 peratus di badan dan tangan sebelah kanan namun keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK).

Menurut Arjunaidi, sehingga kini masih belum ada tangkapan dilakukan pihak polis, namun usaha mengesan dua suspek sedang giat dijalankan.

Facebook Comments
Close