Dua Dari Empat Pelajar UiTM Machang Maut | Nahas Kemalangan Ngeri

“Saya lihat seorang wanita tercampak keluar dari kereta seperti anak patung. Terkejut melihat keadaan itu, saya terus berlari menyelamatkan mangsa, namun terpaksa berundur selepas tidak sanggup melihat keadaannya yang ketika itu ‘nyawa-nyawa ikan’ sebelum seorang rakan mengeluarkannya dari bawah kereta menggunakan pam hidraulik,” kata saksi kejadian nahas yang meragut dua nyawa penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang dalam kejadian di Kilometer 27.1, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Merbau Chondong, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Nor Fazreen Che Yusoh, 20, dari Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Machang, manakala Muhammad Syarafi Kamarul Shukri, 20, dari Gong Badak, Terengganu mati di tempat kejadian akibat parah di badan.

pelajar UiTM machang kemalangan ngeri

Gambar Hiasan

Dua rakan mereka, Muhammad Hazwan Wook Baharuddin, 20, dari Chemor, Perak dan Noor Zilla Ismail, 20, dari Kuala Lumpur yang juga rakan sekampus cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Machang.

Keempat-empat penuntut tahun akhir Diploma Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Machang itu dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke kampus mereka di Bukit Ilmu sebelum kereta Honda Accord milik Nor Fazreen yang dipandu Muhammad Hazwan terbabas lalu melanggar dua pokok.

Saksi yang enggan dikenali itu mendakwa, kemalangan berlaku di depan matanya ketika hendak melintas jalan bersama seorang rakan.

“Sehingga kini saya masih terbayang keadaan mangsa wanita yang tercampak keluar dari bahagian belakang kenderaan dan ‘terperangkap’ di bawah kereta. “Seorang lagi mangsa lelaki sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh penduduk kampung sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.

Muhammad Hazwan ketika ditemui pula berkata, walaupun dirinya dan Noor Zilla terselamat dalam kejadian itu, dia terkilan kerana dua rakan karibnya maut ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menukar wang di sebuah premis pengurup wang di Kota Bharu.

Katanya, mereka bersama 16 penuntut lain dalam jurusan sama sepatutnya bertolak ke Bangkok, Thailand, pada hari ini (semalam) sempena program lawatan sambil belajar di negara berkenaan selama empat hari.

“Ketika singgah minum di sebuah gerai sebaik selesai menukar wang, Nor Fazreen dan Muhammad Syarafi kelihatan sugul hingga menimbulkan kehairanan di hati saya, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Saya sedih kerana kehilangan dua rakan baik dalam sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Malik Bedot berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas kereta dipandu Muhammad Hazwan hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu melanggar dua pokok.

Katanya, akibat kemalangan itu, Muhammad Syarafi yang berada di sebelah pemandu mati di tempat kejadian manakala Nor Fazreen di tempat duduk belakang, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Machang.

“Muhammad Hazwan dan Noor Zilla kini dirawat di hospital berkenaan manakala mayat dua rakan mereka dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Facebook Comments
Close