Dua Anggota Polis cedera Parah Ditembak Penjenayah

Dua anggota polis dari Unit Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields cedera parah ditembak dalam kejadian di Kuchai Lama, di sini, petang semalam.

Kedua-dua anggota berkenaan Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, dan Koperal R Subramaniam, 52, yang masing-masing terkena tembakan di leher dan perut kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dilaporkan stabil.

Dua polis ditembak

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, dua anggota terbabit yang menaiki MPV mengekori sebuah kereta Proton Saga yang disyaki berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan kenderaan itu yang dinaiki empat lelaki untuk pemeriksaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuchai Lama, kira-kira jam 6.45 petang.

“Sebaik keluar anggota terbabit keluar bagi menjalankan pemeriksaan, dua suspek yang berada di dalam kereta itu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Berikutan itu, anggota terbabit turut melepaskan beberapa das tembakan bagi menyelamatkan diri dan sempat meminta bantuan unit peronda lain sebelum suspek memecut kereta melarikan diri.

Bakri berkata, kedua-dua anggota terbabit dikejarkan ke PPUM untuk rawatan segera oleh anggota MPV lain dan usaha mengesan suspek kini giat dijalankan.

Berikutan itu, kereta dinaiki suspek ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian di Lebuhraya Maju (MEX) menghala ke Putrajaya, bagaimanapun keempat-empat suspek dipercayai sudah meloloskan diri.

“Kita (polis) kini menjalankan siasatan ke atas kereta milik suspek bagi mengesan mereka. Dua anggota yang menerima rawatan di Unit Kecemasan PPUM itu kini dilaporkan stabil.

“Kes terbabit disiasat mengikut seksyen Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Difahamkan, pihaknya belum dapat mengenal pasti sama ada suspek berkenaan adalah individu yang sama melakukan rompakan menyebabkan pengawal keselamatan maut ditembak di sebuah kedai emas di Jalan Othman, di sini, beberapa jam sebelum kejadian itu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close