Budak 3 Tahun Hampir Maut | Terjatuh Dalam Api Bakar Sampah

Keghairahan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun membantu ibunya membakar sampah membawa padah apabila dia nyaris rentung akibat terjatuh dalam bara api di rumahnya di Kampung Batu Enam, Bukit Tunggal, di sini, dalam kejadian Selasa minggu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Nur Farah Najwa Zol, 3, yang ditemani ibunya, Raja Suria Raja Ngah, 40, berlari ke arah unggun api sambil memegang sampah untuk dibakar.

Budak bantu ibu bakar sampah nyaris rentung

Gambar hiasan

Malangnya, sebelum kanak-kanak itu sempat melempar sampah ke dalam unggun api itu dia tersilap langkah dan rebah atas bara itu.

Raja Suria yang ditemui di Wad Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, dia tidak sempat menghalang tindakan Nur Farah Najwa yang tiba-tiba berlari ke arah unggun api itu dengan memegang sampah.

Katanya, dia yang terkejut dengan kejadian itu bergegas ke unggun api itu untuk mengangkat anaknya yang meraung kepanasan.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia terus menjirus anak ketiganya yang melecur teruk di bahagian tangan dan kaki kanan dengan menggunakan air paip sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Manir dan diminta rujuk kepada pakar di HSNZ.

“Doktor memberitahu daging bahagian siku kanan sudah masak akibat terkena cecair plastik panas manakala kaki kanannya juga melecur teruk,” katanya.

Facebook Comments
Close