Bola Sepak AFC 18.09.2012 | Arbil 5 – 1 Kelantan

JUARA empat kali Liga Premier Iraq, Arbil FC mempamerkan kehebatan sebenar apabila mencatat kemenangan bergaya ke atas pasukan gergasi Pantai Timur Malaysia – Kelantan 5-1 dalam saingan suku akhir pertama di Stadium Francouse Al-Hareeri, hari ini.

Kemenangan ini nyata memberi bekalan selesa ke atas pasukan Arbil FC yang akan bertandang ke Kota Bharu pada aksi suku akhir kedua 25 September ini.

keputusan kelantan vs arbil 18 september 2012

Perlawanan yang jelas didominasi Arbil FC pada babak awal perlawanan memperlihatkan pelbagai serangan dan percubaan dilakukan anak buah Nizar Mahrous.

Namun begitu, Shakir Ali hampir menjaringkan gol untuk pasukan Kelantan tetapi sepakannya sekadar melewati palang gol pada babak awal perlawanan.

Mula menemui rentak, Arbil FC mula mengatur permainan dengan melakukan asakan demi asakan ke gawang lawan.

Akhirnya, pasukan tuan rumah berjaya memecah kebuntuan jaringan apabila pemain nombor 12 menjaringkan gol pertama setelah menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohd Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-38.

Tersentak dengan jaringan pasukan tuan rumah, Kelantan mengatur strategik dengan melakukan serangan ke gawang lawan.

Namun, kesilapan yang dilakukan pasukan tuan rumah menjatuhkan pemain Kelantan di dalam kotak penalti akhirnya memberi peluang kepada anak buah Bojan Hodak menjaringkan mata penyamaan.

Suasana stadium yang pada mulanya riuh senyap seketika apabila Mohd Badhri Mohd Radzi berjaya menggegar gawang Arbil FC pada minit ke-42 menerusi sepakan penalti.

Memasuki babak kedua perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah memperkemaskan corak permainan dengan aksi yang lebih tersusun dan pemain Arbil FC mencemaskan kelab pelawat, namun tendangan lencongnya dari jarak 15 meter berjaya didakap kemas penjaga gol, Khairul Fahmi.

Begitupun pasukan pelawat tidak kurang aksinya apabila bangkit melakukan serangan dan hampir mengejutkan pasukan tuan rumah, namun beberapa cubaan menarik berjaya dikekang benteng pertahanan Arbil FC.

Keghairahan tuan rumah dalam memburu gol kedua akhirnya tertunai menerusi tendangan penalti yang disempurnakan pemain nombor 29 pada minit ke-50 untuk mengukuhkan kedudukan di depan.

Gol tersebut tidak menyentap semangat juang Kelantan apabila turut melancarkan serangan ke kubu pasukan Arbil menerusi rangkaian jentera serangan Piya namun berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah.

Selang beberapa minit kemudian, Arbil FC terus berpesta gol menerusi jaringan pemain nombor 11 pada minit ke-68 sebelum pemain nombor lapan meriuhkan stadium dengan gol keempat pada minit ke-71.

Anak-anak buah Nizar menutup tirai perlawanan malam ini dengan gol kelima pada babak akhir perlawanan sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir Piala AFC.

Facebook Comments
Close