Blog Hina Kadazandusun | PR Tidak Kendali Blog ‘Suara Pakatan Rakyat’

Pakatan Rakyat (PR) hari ini menafikan pihaknya mengendalikan blog ‘Suara Pakatan Rakyat’, yang telah menimbulkan kegusaran orang ramai ekoran tulisan di bawah “Tarian Sumazau Untuk Golongan Rendah Akhlak”.

Dalam satu siaran akhbar yang dikeluarkan oleh tiga pemimpin PR iaitu Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Setiasaha Publisiti DAP, Tony Pua tulisan blog seolah-olah cuba mengaitkan kepimpinan perikatan itu.

Isu Sumazau: PR nafi kendali blog 'Suara Pakatan Rakyat'

“Pakatan Rakyat di sini menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat tiada kaitan apa pun dengan pengendali blog tersebut, dan kenyataan-kenyataan yang terdapat dalam laman tersebut tidak melambangkan dasar atau kedudukan politik parti-parti komponen Pakatan Rakyat,” kata kenyataan itu.

Malah tiga komponen parti itu mengesyorkan supaya pengendali laman blog berkenaan meneliti semula pandangan penulis tentang rencana yang dikeluarkan yang menyentuh
sensitiviti rakyat Sabah dengan mengaitkan tarian Sumazau.

Dakwa PR, pengisian artikel terbabit menyentuh tentang fahaman, pandangan dan cara hidup warga Sabah terutamanya yang berketurunan Kadazandusun, yang bercanggah dengan dasar dan kedudukan parti-parti politik PR.

Sementara itu, tinjauan terhadap laman blog yang dimaksudkan oleh PR mendapati, penulis tersebut telah membuang artikel berkenaan yang dimaksudkan oleh PR menyentuh sensitiviti rakyat Sabah.

Namun satu kenyataan balas dikeluarkan oleh penulis blog terbabit yang mendakwa artikel yang ditulis sebelum itu telah disalahtafsirkan oleh beberapa pihak.

Antara kandungan artikel berkenaan memetik: “Mesej sebenar yang penulis cuba sampaikan ialah, tarian asal pemujaan seperti itu tidak sewajarnya ditarikan oleh seorang
pemimpin besar negara.”

Tambah penulis itu lagi, beliau membangkitkan isu berkenaan apabila pemimpin negara menarikan tarian tersebut yang mempunyai elemen- elemen pemujaan.

“Sekali lagi, isunya di situ, pemimpin menari Sumazau bukan tarian itu sendiri. Ia mungkin tarian tradisi Sabah tapi ‘so be it’, sebab isunya bukan tarian, tapi yang menarikan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan penulis tersebut.

“Malanglah kepada yang mengaku berasal dari Sabah tapi asal usul tarian pun tidak tahu – penulis sudah dapat pengesahan, memang tarian Sumazau berasal dari upacara memuja semangat padi.” tambah penulis blog berkenaan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close