Warga Emas Tidak Boleh Berjalan Selepas Digigit Kucing

“Selepas digigit kucing, kaki kiri saya jadi bengkak dan bernanah dan kini saya tidak boleh berjalan lagi,” kata seorang warga emas, Zainab Mat Said, 74 yang tinggal di Felda Panching Utara di sini.

Bagaimanapun, Zainab reda dengan nasib yang menimpa dirinya ini dan terus berharap agar kakinya boleh berjalan semula.

Lumpuh lepas digigit kucing

Menurutnya, jika mahu ke mana-mana, dia terpaksa mengengsot di dalam rumah dan jika mahu ke bilik air ataupun keluar rumah, perlu dibantu suami dan anak-anak.

“Mungkin kucing itu hanya penyebab sahaja untuk saya jadi seperti ini. Ini semua dugaan. Satu nikmat yang diberi sudah ditarik balik. Tetapi dengan usaha, doa dan tawakal, saya berharap agar diberi kesempatan untuk berjalan lagi.

“Mujur ada suami dan anak-anak di sisi. Walaupun tidak boleh berjalan, saya masih bersyukur kerana orang-orang tersayang berada di sini saya,” katanya.

Selain itu, kejadian yang baru berlaku enam bulan lalu menjadikan hidup Zainab berubah seratus peratus apabila terpaksa menghabiskan masa di rumah.

Dia yang mempunyai tujuh orang anak dahulu merupakan seorang wanita yang tidak boleh duduk diam dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan ini membatas pergerakannya.

“Dari muda hingga tua saya suka melakukan pelbagai kerja. Itu cara saya bersenam dan mengekalkan kesihatan. Mungkin ada hikmat di sebalik kejadian yang berlaku ini,”katanya.

Sementara itu, nasib Zainab mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching, Datuk Mohd Zaili Besar dengan menyampaikan sumbangan kerusi roda.

Mohd Zaili berkata, dengan sumbangan tersebut ia diharap dapat meringankan beban yang ditanggung Zainab dan keluarganya.

“Selepas ini makcik Zainab boleh keluar rumah dengan bantuan kerusi roda ini. Selain itu, ia diharap dapat memudahkan pergerakan dia dalam rumah dan tidak perlu mengengsot lagi.

“Semoga dengan bantuan yang tidak seberapa ini, menjadikan makcik Zainab kuat semangat dan sentiasa berusaha untuk berjalan semulas,”katanya.

Facebook Comments
Close