Tema Merdeka Kedah ‘55 Tahun Merdeka Terus Berbakti’

Kedah kekal dengan tema ‘55 Tahun Merdeka Terus Berbakti’bagi sambutan hari kemerdekaan peringkat negeri walaupun Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan tema ‘Sebangsa Sejiwa Senegara’ bagi negeri-negeri PR.

Exco Penerangan, Abd Ghani Ahmad berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Exco sejurus majlis pelancaran sambutan kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu.

Kedah kekal tema ‘55 Tahun Merdeka Terus Berbakti’

“Kita hormati keputusan Sekretariat PR yang mengumumkan tema ‘Sebangsa Sejiwa Senegara’ pada 1 Ogos lalu. Namun pelancaran tema Kedah dibuat lebih awal dan tidak wajar untuk menarik balik,” katanya.

Beliau percaya tidak timbul pertikaian dalam penggunaan tema itu kerana hasrat asal adalah untuk memilih tema berbeza dengan Pusat iaitu ‘Janji Ditepati’.

“Kedah kekalkan tema ini kerana sudah diwar-warkan sejak awal, tambahan pula pemasangan kain rentang sudah dibuat. Yang penting tema kita berbeza dengan Pusat, yang jelas membuktikan diselitkan dengan kempen politik Barisan Nasional (BN),” katanya.

Abd Ghani berkata, tema ‘Terus Berbakti’ dicadangkan oleh jawatankuasa induk Sambutan Hari Kemerdekaan dan mendapat persetujuan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Pada 1 Ogos lalu, PR mengumumkan tema ‘Sebangsa Sejiwa Senegara’, yang dipilih oleh Jawatankuasa Tema Hari Kemerdekaan PR daripada 250 cadangan yang diterima daripada orang ramai.

Datuk A. Samad Said selaku pengerusi jawatankuasa terbabit berkata, tema yang dikirim oleh Al Haimi Adam ‘Senegara Sebangsa Sehati Sejiwa’ diubah supaya tidak menyentuh isu sensitif, siasah, perkauman dan diperhalusi sebaik mungkin.

Menurutnya, tema itu dilihat lebih neutral dan memberi gambaran kebersamaan rakyat dan negara tanpa ada sebarang agenda politik.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close