Tanam Rock Melon | Mampu Jana Pendapatan Lumayan

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yakin tanaman rock melon boleh dikembangkan dan memberi keuntungan lumayan kepada petani kerana tanaman ini boleh diusahakan sehingga lima pusingan setahun secara fertigasi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Arpan Shah Satu berkata, dalam lawatan kerja sehari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gombak dan Petaling Jaya baru-baru ini, tanaman rock melon yang diusahakan dua usahawan sangat memuaskan.

tanaman rock melon

Menurutnya, kira-kira 8 tan rock melon telah berjaya dikeluarkan bernilai RM28,000 dengan keuntungan RM12,000.

Katanya, LPP telah memberi pinjaman RM25,000 kepada usahawan ini di bawah Tabung Pinjaman Usahaniaga Peladang sebagai modal untuk menyediakan infrastruktur ladang, pembelian input pertanian seperti benih, baja dan racun rumpai/serangga/kulat.

“Buah rock melon boleh dituai dalam masa 70 hari dari tarikh ditanam. Ini bermakna setiap usahawan peladang muda tersebut mendapat pendapatan bersih lebih RM2,500 sebulan.

“Jika usahawan tersebut menambah 4,000 pokok lagi untuk satu pusingan, maka mereka akan memperolehi pendapatan bersih RM5,000 sebulan seorang. Dengan yang demikian mereka boleh tumpukan kepada usaha mereka dan tidak perlu buat kerja lain atau berhijrah ke bandar-mencari kerja,” katanya.

Beliau berkata, mengambil kira rock melon boleh diusahakan sehingga lima pusingan setahun, maka usahawan ini akan mengeluarkan 54 tan hingga 75 tan rock melon setahun dengan nilai RM189,000 hingga RM262,500.

Arpan menegaskan, LPP telah melaksanakan tanaman ini di beberapa tempat yang lain seperti di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kelang, melibatkan 44,000 pokok di kawasan seluas 11 ekar oleh 11 usahawan muda, di Kuala Langat sebanyak 3,500 pokok oleh usahawan peladang wanita dan di PPK Grik serta PPK di Negeri Sembilan dan Terengganu.

“Mengikut rekod, PPK Kelang telah mengeluarkan 180 tan rock melon pada 2011 bernilai RM610,634 melalui ladang kontrak bersama Fama dan syarikat swasta,” katanya.

Di samping itu, LPP dan PPK, katanya, akan menjalankan usaha sama dengan Fama untuk mengadakan kontrak pemasaran di bawah program ladang kontrak.

“Permintaan buah rock melon di Lembah Kelang sangat menggalakkan. Bagi usahawan peladang muda di bawah bimbingan Pertubuhan Peladang Gombak dan Petaling itu mereka tidak perlu risau dari aspek mendapatkan input pertanian dan pemasaran. Semuanya diuruskan PPK,” katanya.

Contohnya, input diperolehi dari kedai input pertanian PPK dan pasaran telah diuruskan oleh PPK bersama Fama menerusi program ladang kontrak dengan harga lantai RM3.50 sekilogram.

Facebook Comments

Incoming search terms:

  • tanam rock melon (14)
Close