Taktik Sekeluarga Menyamun Mangsa

Seorang lelaki menunggang motosikal bersama seorang wanita dan dua anak kecil dipercayai sekeluarga dikesan melakukan ugutan dan jenayah samun terancang dengan berpura-pura kononnya anak mereka dilanggar kenderaan mangsa sebelum menyamun mereka.

Insiden itu berlaku kepada seorang pemandu lori, Yong Chin Wan, 68, ketika membuat penghantaran produk makanan dari Jalan Kuchai Lama ke kilangnya di Taman Perindustrian Puchong.

Taktik licik keluarga penyamun

Menceritakan detik malang itu, Chin Wan berkata, dia ditahan lelaki sama sebanyak dua kali.

Katanya, kejadian pertama berlaku pada 2 Jun lalu, ketika dia bersama seorang pembantu warga Indonesia dalam perjalanan ke kilang sebelum ditahan suspek di Jalan TPP 6/6.

Mangsa berkata, akibat ketakutan, dia tidak memberhentikan kenderaan sebaliknya meneruskan perjalanan sebelum sekali lagi ditahan penunggang motosikal itu di selekoh berhampiran padang bola sepak di laluan yang sama.

Chin Wan berkata, lelaki itu menuduh dia melanggar anak lelakinya berusia empat tahun yang dibawa bersama ketika itu.

Dia yang curiga dengan tuduhan itu meminta lelaki terbabit membawa anaknya ke hospital dan berjanji akan membayar kos perubatan meskipun tidak melanggar kanak-kanak itu seperti didakwa suspek.

Katanya, lelaki itu enggan sebaliknya meminta dia membayar wang, pada waktu kejadian tiba-tiba datang tiga lagi lelaki lain menaiki motosikal yang kononnya ‘prihatin’ dan terus menuduh mangsa bersalah. Mereka menyuruhnya memberi duit kepada lelaki bersama ‘isteri’ dan dua ‘anak’ itu.

Katanya, melihat dia tidak mahu menuruti kemahuan suspek, lelaki itu mengeluarkan pemetik api dan mengugut akan membakar lorinya.

Bimbang dengan perkara itu, Chin Wan berkata, dia turun daripada lori sebelum lelaki itu meluru ke arahnya dengan topi keledar.

Pembantunya yang ada pada waktu kejadian terus turun dari lori merayu lelaki terbabit tidak memukul mangsa dan memberikan wang tunai sebanyak RM300.

Mangsa berkata, sebaik menerima wang itu, lelaki bersama ‘isteri’ dan dua ‘anak’ serta tiga lelaki dipercayai geng sama terus melarikan diri.

“Kejadian berkenaan tidak terhenti di situ, pada pertengahan Julai lalu, sekali lagi saya ditahan lelaki sama yang turut membawa seorang perempuan dan seorang anak kecil bersamanya menaiki sebuah motosikal.

“Kejadian berlaku ketika saya memberhentikan lori di persimpangan lampu isyarat di Taman Bukit Kuchai, Batu 8 kira-kira jam 7 malam,”katanya yang membuat laporan di Balai Polis Puchong dan membuat aduan kepada Ketua Pemuda MCA Selangor, Dr Kow Cheong Wei.

Facebook Comments
Close