Suami Kelar Leher Isteri

“Dia menghubungi saya meminta pertolongan dengan suara tidak jelas. Saya segera ke rumahnya yang berhadapan rumah saya,” kata M Ramanathan, 58, bapa kepada R Saraswathiy, 37, yang parah dipercayai dikelar suaminya, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang tinggal di Bandar Tasek Mutiara, di sini, bersama dua anaknya parah di leher dan tangan.

Kelar leher isteri

Menurut Ramanathan, anak sulungnya itu dalam proses penceraian dan menetap bersama dua cucunya di rumah berkenaan manakala suaminya tinggal berasingan. “Anak saya selalu cerita dia menerima ugutan bunuh melalui telefon daripada suaminya dan sudah empat kali kami membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, dua cucunya yang berusia 10 dan 11 tahun tiada di rumah kerana bersekolah manakala mangsa tinggal bersendirian.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah mangsa, pintunya berkunci sebelum dia berpatah balik ke rumahnya untuk mengambil kunci pendua rumah anaknya itu.

Katanya, sebaik membuka pintu, dia melihat darah memenuhi lantai sebelum menemui mangsa tidak sedarkan diri.

“Saya menemuinya tidak sedarkan diri di bilik ketiga rumah berkenaan,” katanya yang menghantar anaknya ke Hospital Sungai Bakap. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, pemeriksaan mendapati mangsa dicederakan menggunakan senjata tajam dan setakat ini pihaknya belum menemui senjata terbabit.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berpunca dari masalah hak penjagaan anak selepas pasangan berkenaan tidak sefahaman sejak tahun lalu.

“Pasangan itu dikatakan sudah tidak tinggal bersama dan suspek pergi ke rumah sewa mereka itu sebelum berlaku pertengkaran.

“Suspek melarikan diri selepas kejadian,” katanya.

Menurut Shafien, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Katanya, suspek berusia 41 tahun dan seorang penganggur kini diburu bagi membantu siasatan.

“Saya percaya lelaki berkenaan masih berada di Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K Komathi di talian 012-9448519 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close