Sanggup Bersengkang Mata Siapkan Pulut Jalur Gemilang

Seluruh rakyat Pasir Mas, meraikan sambutan Kemerdekaan kali ke-55, dengan pelbagai aktiviti menarik, semalam. Dianggarkan ribuan penduduk memeriahkan sambutan dengan berarak, memandu kereta antik, menaiki motosikal, basikal tua dan beca sekitar bandar.

Jalur Gemilang daripada pulut, sanggup bersengkang mata

Jalur Gemilang Perkasa

Selepas berhempas pulas selama 12 jam, akhirnya replika Jalur Gemilang daripada pulut berjaya dihasilkan oleh 50 penduduk di 22 peti undi To Uban, semalam. Ini mencipta sejarah pertama seumpamanya di daerah ini, apabila mereka berjaya menyiapkan Jalur Gemilang Perkasa, menggunakan pulut sebanyak 2.5 tan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, Jalur Gemilang yang dihasilkan dari pulut itu sepanjang 9.2 meter itu dan lebar 1.3 meter, menggunakan kos berjumlah RM20,000 hasil sumbangan pelbagai pihak.

Beliau mengucapkan rasa bangga kepada semua yang terlibat, kerana sanggup bersengkang mata selama hampir 24 jam, bagi menyiapkan Jalur Gemilang berkenaan.

Ibrahim turut percaya, sejarah negara tercipta apabila pulut digunakan untuk membuat jalur gemilang, sempena sambutan Kemerdekaan kali ini.

“Ia juga mencerminkan perpaduan rakyat, semangat jati diri dan menghargai kemerdekaan yang dikecapi. Sekarang, sambutan bukan setakat dengan melaungkan kata-kata semangat, tetapi penglibatan dari segi mental dan fizikal perlu diterapkan.

Beliau berkata demikian ketika majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan, di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, semalam.

Serentak dengan majlis ini, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 402 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti seluruh negara, pada 2 September ini.

Ibrahim yang juga Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengayuh basikal sejauh 500 meter sambil mengibarkan Jalur Gemilang, bersama ratusan penduduk di sini.

“Kita jangkakan ribuan penduduk akan membanjiri pekarangan sekolah, dan menanti sehingga detik jam 12 malam ini,” katanya, semalam.

Perarakan kereta antik

Majlis perarakan yang unik, kelolaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Banggol Perdana, menggamit suasana sambutan apabila sebanyak 11 kereta antik, Voksvagen berarak mengelilingi bandar, semalam.

Pengerusi KRT Banggol Perdana, Noralam Majid berkata, penduduk kampung ini bertuah apabila 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Tanah Merah, turut memeriahkan sambutan, peringkat kampung.

Menurutnya, sambutan yang diadakan julung kalinya ini, turut dimeriahkan dengan pertunjukan kuda, basikal tua dan 11 kereta antik.

“Kita mahu generasi masa ini, menghargai pengorbanan pejuang terdahulu, sehingga kita dapat mengecapi keamanan seperti hari ini,” katanya, semalam.

Persembahan nasyid

Persembahan nasyid daripada kumpulan terkenal tanah air, Hijjaz turut menyerikan lagi sambutan kemerdekaan di Pasir Mas.

Pengerusi Sambutan, Abd Aziz Mohammad berkata, sejak jam 6 petang, ramai yang berkumpul Sekolah Kebangsaan Datuk Hamid (II) untuk memeriahkan majlis.

“Kita turut mengadakan majlis perarakan membabitkan 300 motosikal, mengelilingi bandar, dengan kibaran Jalur Gemilang. Majlis ini dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah seterusnya tahlil, bacaan Yasin dan bacaan surah terpilih oleh bekas Qari Kelantan, Mohd Hussin Yunus,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih 2,000 penduduk seluruh Parlimen akan membanjiri pekarangan padang sekolah, untuk menyaksikan persembahan nasyid daripada kumpulan Hijjaz.

Katanya, detik yang dinantikan oleh semua, adalah ketika detik jam 12 malam, apabila semua akan melaungkan kemerdekaan sebanyak tujuh kali bersama-sama.

Facebook Comments
Close