Rumah Terbakar | Warga Emas Tidak Kesampaian Pakai Baju Raya

Hasrat sepasang suami isteri warga emas untuk memakai baju baru sempena hari raya Aidilfitri tidak tercapai apabila bilik yang menyimpan segala kelengkapan itu musnah dalam kebakaran di Taman Ehsan, Kota Jembal, di sini, kira-kira jam 11.25 pagi semalam.

Mangsa, Ramdah Daud, 53, berkata, sejam sebelum kejadian berlaku, dia merasa berat hati untuk meninggalkan rumahnya itu dan pulang ke kampung di Danan, Pasir Puteh.

Hasrat berbaju baru musnah

“Memang saya rasa tidak sedap hati semasa hendak keluar tadi dan tidak menyangka rupa-rupanya ada kejadian buruk yang akan berlaku kerana sebaik sahaja sampai di Bukit Marak, saya menerima panggilan telefon daripada jiran mengatakan rumah terbakar.

“Pada masa itu saya dengan perasaan berdebar dan terkejut terus patah balik dalam keadaan kebingungan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, semasa kejadian, rumahnya kosong kerana suaminya, Nik Mat Nik Mot, 72, berada di Perak kerana mendapatkan rawatan bengkak hati di sana dan akan pulang pada minggu hadapan.

Dia berkata, oleh kerana bimbangkan keselamatan dirinya, suami Ramdah meminta dia pulang ke kampung di Pasir Puteh untuk sementara waktu.

Ramdah berkata, bagaimanapun dia bersyukur apabila hanya dua bilik tidur yang terlibat dengan kebakaran itu manakala ruangan yang lain dapat diselamatkan.

“Semua persiapan hari raya saya dan suami tidak dapat diselamatkan begitu juga dengan beberapa dokumen penting,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Pegawai Kanan Bomba II, Mahussin Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa dan Bachok dikejarkan ke tempat kejadian bersama tiga jentera untuk kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran yang melibatkan dua buah bilik di rumah berkenaan.

“Sejurus tiba, kedua-dua buah bilik di rumah berkenaan telah hangus sebanyak 70 peratus. Pihak kami mengambil masa selama 20 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran tersebut.

“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan dan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM125,000,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close