Penyokong T-Team Maut Kemalangan

“Arwah ayah ada menyatakan hasrat mahu berpuasa sunat esok (semalam), tetapi saya tidak menyangka niatnya itu tidak kesampaian,” demikian kata Nurul Faraheim Mat Rani, 22.

Nurul Faraheim adalah anak sulung kepada Mat Rani Jusoh, 50, yang maut selepas motosikal yang ditunggangi dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta, sebelum diseret kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dalam kemalangan di Jalan Hiliran, Chabang Tiga, di sini, malam kelmarin.

Tragedi pulang menyaksikan perlawanan T-Team

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Kaya, di sini, selepas menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan T-Team menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di pusat bandar raya.

Namun, ketika tiba dilokasi kejadian, mangsa, bapa kepada tiga anak itu dirempuh sebuah Toyota Corola yang dipandu laju dari arah sama, sehingga tercampak dan pemandu berusia 39 tahun dari Kampung Padang Hiliran, dikatakan cuba melarikan diri sebaik melihat mangsa dalam keadaan parah dan nyawa-nyawa ikan.

Bagaimanapun, cubaannya untuk melarikan diri tidak berhasil apabila beberapa penduduk kampung yang melihat kejadian itu cuba mengejarnya, sebelum terbabas di atas pembahagi jalan di lampu isyarat berhampiran Balai Polis Chabang Tiga.

Menurutnya, arwah bapanya yang amat meminati bola sepak telah keluar rumah kira-kira jam 8.45 malam untuk menyaksikan perlawanan bola sebelum mereka sekeluarga dikejutkan dengan panggilan kecemasan memberitahu arwah ditimpa kemalangan.

“Saya menerima panggilan kira-kira jam 11.30 malam memaklumkan ayah terlibat kemalangan. Saya ingat ayah terlibat kemalangan kecil sahaja dan sebab itu, hanya adik lelaki serta ayah saudara ke lokasi kejadian.

“Tetapi beberapa minit kemudian saya diberitahu ayah meninggal dunia sebelum adik lelaki berusia 19 tahun mengambil saya di rumah untuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik HSNZ.

Saksi nampak kereta dipandu laju

Menurut saksi kejadian, Fatimah Mohd, 60, sebelum kejadian, dia nampak sebuah kereta dipandu laju dari arah Pulau Kambing menghala ke Chabang Tiga, di sini, dan tidak sampai beberapa minit, dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

“Saya memang nampak kereta itu dipandu laju dan ketika terdengar dentuman kuat itu, saya sudah mengagak kereta terbabit pasti melanggar sesuatu, sebelum ternampak ia menyeret sebuah motosikal bersama penunggangnya sekali.

“Selepas 100 meter dari lokasi kejadian, mangsa yang cedera parah itu tercampak ke bahu jalan, sebelum kereta itu terbabas di atas pembahagi jalan di lampu isyarat berhampiran Balai Polis Chabang Tiga,” katanya yang ketika kejadian, berada di kedai makan yang dibukanya berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian dan menjelaskan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut ini tampil ke mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bola sepak Terengganu hilang peminat setia

“SAYA amat terkejut menerima berita ini (kematian), kerana arwah (Mat Rani) sememang seorang yang sangat cintakan sukan khususnya bola sepak.

“Bayangkan, dia sanggup ikut dan membantu saya setiap kali saya mengendalikan sesi latihan bersama T-Team secara sukarela serta tidak pernah melepaskan peluang untuk menonton aksi pasukan T-Team dan Terengganu di stadium.”

Itu luahan penolong jurulatih T-Team, Yusoff Ali, 47, ketika ditemui di pekarangan bilik mayat HSNZ selepas mendapat tahu berita pemergian rakannya, Mat Rani Jusoh, 50, yang maut akibat dirempuh sebuah kereta kira-kira jam 10.45 malam tadi (semalam).

Yusoff berkata, selain terlibat secara tidak langsung dalam pengurusan T-Team, Mat Rani juga masih aktif dalam aktiviti sukan, termasuk pernah mewakili kelab bola sepak pejabat Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) bagi kategori veteran.

“Saya sudah lama bersahabat dengan arwah sejak zaman sekolah lagi dan dia senior saya. Kehilangannya secara mengejut malam ini (semalam) juga merupakan satu kehilangan buat pasukan T-Team dan Terengganu,” katanya.

Turut meluangkan masa menziarahi jenazah ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah. Dalam pada itu, Nurul Faraheim, memberitahu, bapanya merupakan peminat setia pasukan bola sepak Terengganu dan T-Team sejak dulu lagi.

Facebook Comments
Close